Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM), kerajaan negeri dan industri perbankan akan bekerjasama menyelaras kriteria bagi meluluskan pembiayaan rumah dan meningkatkan kemampuan pemohon.
Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, penilaian oleh bank terhadap peminjam sebahagiannya bagi membantu mereka memastikan mereka mempunyai kemampuan untuk membayar pinjaman serta mempunyai kewangan mencukupi untuk perbelanjaan hidup.
Ia juga untuk memastikan peminjam dapat melindungi diri berikutan kenaikan kos dan perkara buruk yang tidak dijangka termasuk perampasan rumah.
"Maksimum tempoh pinjaman perumahan 35 tahun, lebih daripada mencukupi untuk peminjam membayar balik pinjaman perumahan mereka mengikut umur persaraan,” kata bank pusat itu.
Penilaian pembiayaan mengambil kira pendapatan pemohon selepas potongan statutori, perbelanjaan keperluan dan semua obligasi hutang bank dan pemberi pinjaman bukan bank.
“Mereka yang tidak berupaya memiliki rumah juga boleh mempertimbangkan pilihan untuk menyewa," katanya.
BNM berkata Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit menyediakan nasihat kepada pemohon untuk merasionalkan tahap hutang mereka dan mendidik pengurusan kewangan berhemat.