Cheong Min akui keputusan SPM baik tetapi tidak mencapai sasaran dalam semua mata pelaharan diambil. FOTO RATS
Cheong Min akui keputusan SPM baik tetapi tidak mencapai sasaran dalam semua mata pelaharan diambil. FOTO RATS

Kuala Lumpur: Atlet elit wushu negara Tan Cheong Min membuktikan atlet juga mampu memperolehi keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 walaupun berdepan kekangan masa untuk belajar dan menjalani latihan.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) daripada aliran sains itu memperoleh keputusan A dalam lapan mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan Moral dan B dalam dua mata pelajaran, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

"Keputusan SPM saya baik tapi tidak mencapai sasaran untuk mendapat A dalam semua mata pelajaran yang saya ambil.

Kalau ada kejohanan atau latihan di luar negara, saya akan tetap mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan," kata atlet berasal dari Melaka itu ditemui selepas mengambil keputusan SPM di SSBJ, hari ini.

Atlet yang meraih tiga emas pada Sukma Perlis 2014 ini dalam rangka persiapan untuk Kejohanan Wushu Remaja Dunia 2016 di Bulgaria pada September depan.

Kejohanan berkenaan adalah kejohanan antarabangsa yang pertama buat beliau selepas diserapkan ke skuad elit awal tahun ini.

Ketika dalam skuad remaja kebangsaan, Cheong Min pernah mewakili negara pada temasya Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Marikina City, Filipina pada 2014 dan Kejohanan Wushu Remaja Asia di Manila, Filipina pada 2013.

Sementara itu, Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran SSBJ Suriyani Abd Ghani berkata Cheong Min merupakan calon tumpuan dan sandaran sekolah itu untuk cemerlang pada SPM 2015 dan beliau membuktikannya.

"Sekolah merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada Cheong Min dan semua pelajar yang telah berhempas pulas untuk mencapai keputusan yang cemerlang pada SPM yang lalu," katanya. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 6:41 PM