BUAH delima.
BUAH delima.
MADU lebah.
MADU lebah.
BARLI.
BARLI.
Agensi

Makanan yang baik sangat dituntut dalam Islam untuk menjamin kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Malah terdapat beberapa makanan sunah berkhasiat dan mempunyai kelebihannya tersendiri sering diamalkan Nabi.

Pada zaman serba moden ini, kebanyakan kita sering terlepas pandang kepentingan pengambilan makanan seimbang, malah dengan kemunculan pelbagai produk makanan segera, makanan sunah kurang menjadi pilihan.

Beberapa makanan sunah ini mungkin boleh menjadi amalan kerana kaya dengan khasiat yang diperlukan tubuh dan amat digalakkan pengambilannya dalam diet seharian.

1. Madu lebah

Madu satu-satunya makanan dihasilkan oleh lebah yang memiliki semua komponen keperluan hidup manusia termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu satu antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak. Bahan antioksida diperlukan bagi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel.

Ia mempunyai pelbagai khasiat dan dianggap ibu segala makanan. Apabila dicampur bersama air panas, ia boleh mengubati cirit-birit.

Rasulullah mengamalkan minuman madu dengan mencampurkan madu dengan segelas air dan minum setiap pagi ketika perut kosong. Madu paling berkualiti ialah madu yang dikeluarkan pada musim bunga dan musin panas, tetapi kurang berkualiti apabila dihasilkan pada musim sejuk.

2. Susu kambing

Susu kambing ialah makanan penyembuhan yang terbaik bagi membina otak, sistem saraf dan mental. Susu kambing mengandungi segala vitamin, mineral, protein dan lemak yang penting bagi pertumbuhan jaringan otak, enzim dan neurotransmitter, sekali gus memberi tenaga untuk otak.

Susu kambing juga yang terbaik untuk menghasilkan semula sel di dalam badan bagi memulihkan kesihatan seseorang.

Mengikut kajian, susu kambing mampu membantu masalah seperti asma, reumatik, demam kuning, insomnia dan menguatkan tulang. Khasiatnya dikatakan lebih baik daripada susu lembu dan hampir menyamai susu ibu.

3. Za’faron atau safron

Za’faron tergolong antara bahan yang termahal di dunia. Za’faron mempunyai khasiat dan nilai komersial yang tinggi.

Ia digunakan untuk warna kuning-kemerahannya yang terang, juga kerana bau dan rasanya yang pekat dan kuat. Khasiat utamanya merangsang pertumbuhan sel otak manusia dan menguatkan ingatan. Amat baik jika dimakan bersama madu asli.

Za’faron mempunyai banyak khasiat lain antaranya mengubati penyakit sawan, penyakit hati, demam, mati pucuk serta melancarkan pengaliran darah.

4. Barli

Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Rasulullah pernah memberi sup barli kepada orang yang demam. Selain itu, ia dapat mengurangkan kolesterol, melawaskan kencing, membantu sembelit dan mengurangkan risiko kencing manis tetapi jangan campurkan dengan gula.

Barli mempunyai khasiat yang tinggi kerana mengandungi sumber yang mengandungi molibdenum, mangan, serat pemakanan dan selenium serta sumber yang baik untuk tembaga, vitamin B1, kromium, fosforus, magnesium dan niasin.

5. Delima

Buah delima popular dalam bidang perubatan dan kecantikan kerana ia mempunyai kandungan yang sangat baik untuk badan. Perkara ini sudah diamalkan sejak ribuan tahun yang lalu.

Terdapat banyak kajian dilakukan yang membuktikan delima bagus sebagai antioksida, mengelakkan sakit jantung dan mampu menstabilkan tekanan darah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:00 AM