PRODUK Manuka Honey yang dikenakan larangan import.
PRODUK Manuka Honey yang dikenakan larangan import.
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan mengenakan larangan import terhadap produk Manuka Honey daripada Syarikat Evergreen Life Limited yang berpangkalan di New Zealand.

Ia susulan penarikan balik produk itu daripada pasaran oleh syarikat terbabit selepas terdapat maklumat bahawa ada kemungkinan bahan yang tidak dibenarkan iaitu dihydroxyacetone dan methylglyoxal digunakan dalam pemprosesan produk madu tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, larangan itu berkuatkuasa hari ini.

"Pengguna yang telah membeli produk terlibat dinasihatkan supaya tidak memakan produk terlibat dan memulangkannya kepada penjual.

"Walaupun tidak ada bahaya keselamatan makanan, pengguna yang telah memakan produk ini dan mempunyai keraguan terhadap kesihatan mereka boleh merujuk kepada doktor untuk mendapatkan nasihat perubatan," katanya.

Kementerian membuat tindakan susulan selepas penarikan balik produk itu dilaporkan dalam lama Web Kementerian Perusahaan Utama New Zealand

Pihaknya juga dimaklumkan oleh pihak pengimport produk itu bahawa mereka sedang menarik balik produk terlibat dari pasaran secara sukarela memandangkan dua bahan tidak dibenarkan ditambah pada makanan di bawah Akta Makanan 1983.

"Pengguna tidak perlu khuatir kerana kementerian sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.

"Sekiranya pengguna rasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 5:41 PM