DYBALA jaring gol pertama Juve.
DYBALA jaring gol pertama Juve.

Turin, Itali: Jurulatih Juventus Massimiliano Allegri menggesa ‘peningkatan’ selepas kelab gergasi Itali itu mencatat keputusan dramatik seri 2-2 dengan Bayern Munich sekali gus menghidupkan peluang mereka dalam Liga Juara-Juara di Turin.

Juventus menamatkan penantian 12 tahun untuk layak ke final tahun lalu apabila Old Lady diatasi 3-1 oleh Barcelona di Berlin.

Namun peluang mereka mara ke suku akhir agak tipis kali ini selepas persembahan yang mengesahkan kenapa Bayern layak dianggap pasukan pilihan di samping juara bertahan Barcelona dan Real Madrid untuk memenangi trofi tahun ini di Milan.

Anak buah Pep Guardiola tampil sempurna apabila mendahului dua gol selepas 55 minit menerusi gol Thomas Mueller dan Arjen Robben ketika mereka berkampung di kawasan tuan rumah bagi tempoh yang lama.

Bagaimanapun, pemain gantian Stefano Sturaro menyelamatkan maruah tuan rumah 14 minit sebelum tamat apabila dia menokok gol Paulo Dybala pada minit ke-63.

Diasak sepanjang masa di laman sendiri, kelab gergasi Turin itu berdepan laluan lebih getir apabila berkunjung ke Bavaria pada 16 Mac ini mencari kemenangan yang akan memastikan kemaraan ke suku akhir.

“Kami perlu melakukan peningkatan berkaitan persembahan babak pertama,” kata Allegri.

“Pada babak pertama mereka mengasak kami di kawasan kami sendiri dan kami tidak selesa. Kami mula melakukan banyak kesilapan dengan hantaran dan tidak menggunakan ruang dengan baik, tapi jangan lupa kami bertemu Bayern.

“Kami mempamerkan karakter diperlukan bagi pertandingan ini dengan persembahan lebih baik pada babak kedua, jadi pujian buat pemain.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 8:28 AM