KAWASAN yang masih terjejas dalam kebakaran hutan itu. FOTO Mohd Rizal Abdullah
KAWASAN yang masih terjejas dalam kebakaran hutan itu. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Kira-kira 20 hektar kawasan hutan belukar di Kuala Baram yang masih terjejas akibat kebakaran hutan setakat ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, hanya dua lokasi yang masih terbakar kira-kira 10 kilometer dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri setakat ini.

"Kerja pemadaman sedang giat dilakukan bagi mengelak kebakaran itu terus merebak.

"Api hutan juga semakin mengecil, bagaimanapun ia masih mengeluarkan asap tebal," katanya.

Sementara itu, operasi memadam kebakaran hutan di Kuala Baram bermula 11 pagi tadi.

Operasi itu membabitkan Pesawat Bombardier CL145 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) dan lima kru termasuk juruterbang dari Unit Udara Maritim.

Jurucakap Unit Udara Maritim Malaysia berkata, pihak mereka akan memberi tumpuan di dua lokasi di Kuala Baram yang masih terjejas akibat kebakaran hutan itu

Menurutnya, kawasan lain sudah dikawal anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dan Unit Udara Bomba Miri sejak Jumaat lalu.

"Hari ini, kita membantu untuk 'mematikan' kawasan kecil kebakaran itu dari terus mengeluarkan bara," katanya.

Pesawat Bombardier CL145 mampu menampung 6,000 liter air dalam satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 2:21 PM