PEMAIN piring hitam dijual.
PEMAIN piring hitam dijual.
KOLEKSI kemeja T band turut dijual.
KOLEKSI kemeja T band turut dijual.
PENJUAL sibuk menyusun barang mereka.
PENJUAL sibuk menyusun barang mereka.
ANTARA pelanggan memeriahkan ruang bazar.
ANTARA pelanggan memeriahkan ruang bazar.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Irama dinikmati daripada ‘vinyl’ atau piring hitam bunyinya lebih gemersik daripada peranti perakam lagu cekera padat atau kaset.

Meskipun peredaran teknologi mempengaruhi kualiti serta cara muzik terbabit disimpan, masih ada sekumpulan peminat muzik selesa menikmati lagu cara sedemikiann.

Ada segelintir pencinta muzik mempunyai minat mendalam terhadap elemen ‘vintaj’ mengakui mereka turut memiliki gramofon.

Bagi mereka, makin lama ‘usia’ piring dimiliki, makin ‘mahal’ nilai sentimental sebaik melodi itu dapat didengari. Ia tidak dapat ditandingi mana-mana perakam muzik semasa.

Tidak hairanlah ketika satu karnival kecil, Musica Publika dianjurkan di Publika Dutamas baru-baru ini, ia mendapat sambutan hangat daripada peminat koleksi berkenaan.

Biarpun jarum jam berbaki 15 minit sebelum mencecah 4 petang, lokasi rasmi acara terbabit iaitu ‘Black Box’ sudah dipenuhi pengunjung.

Menurut wakil penganjur, Jerome Kugen, dijangka lebih 15 gerai membabitkan kumpulan mahupun penjual perseorangan mengambil bahagian pada bazar mini terbabit.

“Boleh dilihat sambutan luar daripada dijangka apabila sejak jam 4 petang kami tidak putus-putus dikunjungi peminat muzik terutama pengumpul ‘vinyl’. Pelbagai kumpulan umur seawal usia 20-an dan sehingga lewat 60-an datang mengunjungi gerai.

“Persamaan mereka ialah mereka teruja membeli, berkumpul serta berbual mengenai koleksi dimiliki mahupun ingin dibeli. Tanpa mengira jurang umur, mereka mewakili pengaruh muzik yang bersifat universal berkongsi minat sama.

“Berdasarkan sambutan sangat menggalakkan kali ini, saya dan rakan merancang untuk anjurkan acara lebih besar selain diadakan dua kali sebulan,” katanya.

Turut hadir ialah wakil Warner Music Malaysia, Sarika Takigawa bersama rakannya untuk memasarkan piring hitam dalam acara berkenaan.

“Meskipun teknologi digital semakin mendahului dalam teknologi rakaman muzik dengan menghasilkan pelbagai medium seperti cakera padat, DVD, namun piring hitam bagaikan trend yang kembali.

“Kalau dilihat pelanggan kami kali ini, kami ada pelanggan semuda 20-an lebih gemar mendengar lagu daripada piring hitam.

“Respons kami terima ialah mendengar daripada piring hitam lebih mengasyikkan. Lagu kami bawa bukannya lama sebaliknya lagu baru mempunyai peminat kalangan pendengar muda,” kata­nya.

Seorang peminat piring hitam, Shamsul Kamal berkata piring hitam mempunyai nostalgia tersendiri terutama kalangan pemilik koleksi barangan muzik.

“Saya peminat muzik yang tegar. Selain kaset mahupun CD tentu saja piring hitam satu kemestian dalam seleksi barangan disimpan.

“Tidak rugi kerana kalau sudah jemu boleh ditukar bersama kawan memiliki koleksi sama. Istimewanya, lagu didengar daripada piring hitam lebih sedap berbanding medium peranti rekod lain.

“Malah koleksi saya simpan sering ditawar rakan dengan harga tinggi. Ini membuktikan ia tidak lapuk dek zaman,” katanya.

Pandangan Shamsul disokong Jannah Hamid. Dia selaku deejay berasa piring hitam mempunyai tarikan sendiri dalam irama dihasilkan.

“Gesekan piring ini berupaya menghasilkan bunyi menarik. Deejay seperti saya tentu saja selain DVD, piring hitam antara paling penting untuk digunakan tatkala menghiburkan pendengar.

“Jadi berbalik kepada acara ini pula, ia platform bagus mengumpulkan peminat selain sebagai opsyen mendapatkan piring hitam pada harga berpatutan.

“Dipengaruhi dengan kejatuhan mata wang ketika ini, turut terkesan ialah peminat piring hitam. Mereka terpaksa membeli pada kadar lebih tinggi ketika ini.

“Dengan adanya bazar mahupun pesta mini muzik ini, peminat piring hitam seperti saya masih boleh menikmati muzik tanpa berasa terbeban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:03 AM