Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 23,010 paket rokok putih dan kretek pelbagai jenama membabitkan keseluruhan nilai rampasan dan cukai lebih RM278,094, di Perairan Parit Jabar, Senggarang, Batu Pahat dekat sini, hari ini.

Dalam operasi Ops Pensura kira-kira jam 1.30 pagi itu, seorang pegawai bersama sembilan anggota berjaya merampas semua rokok seludup itu ketika ia sedang dipunggah dari bot ke dalam kenderaan yang menunggu di darat.

Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, menyedari kehadiran polis, kenderaan terbabit memecut laju manakala bot pancung itu ditinggalkan tersadai di atas batu.

"Beberapa orang dilihat melarikan diri ke dalam semak ladang kelapa sawit berdekatan.

"Hasil pemeriksaan menemui 23,010 paket rokok sebelum dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk siasatan lanjut," katanya ketika sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Johor di Tampoi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 4:34 PM