WANITA warga Filipina ketika dibawa keluar dari mahkamah majistret. FOTO ihsan JPN
WANITA warga Filipina ketika dibawa keluar dari mahkamah majistret. FOTO ihsan JPN
Salman Hamat


Melaka: Wanita warga Filipina dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) milik orang lain ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh dikenali sebagai Rosnah, 43, membuat pengakuan itu selepas faham dengan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

Mengikut pertuduhan Rosnah memiliki KPT bernombor 721209-12-5040 atas nama Rosnah Kundangit beralamat di Tambunan, Sabah.

Hasil semakan melalui Automated Fingerprint Identification System (AFIS) dan ujian asid deksiribonukleik (DNA) dilakukan juga mendapati dokumen itu tidak merujuk kepada tertuduh.

Pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 25 (1) (e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan KPT milik orang lain.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Melaka, pada 12 tengah hari, Isnin lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa (JPN) Mohd Nasrom Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah mengarahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 6:38 PM