Anggota bomba mengawal kebocoran tangki gas nitrogen. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Anggota bomba mengawal kebocoran tangki gas nitrogen. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Tangki lori bermuatan gas nitrogen yang diparkir di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, bocor, pagi tadi.

Difahamkan, lori tangki itu diletakkan di kawasan parkir IPD Port Dickson bagi membantu siasatan bersabit kes kemalangan maut dengan sebuah motosikal di Kilometer 1.6 Jalan Bypass, di sini, malam kelmarin.

Ketua Operasi dari Bomba dan Penyelamat Port Dickson Ghadafi Abd Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.10 pagi dan dua jentera serta 12 anggota termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) ke lokasi serta tiba dua minit kemudian.

"Pemeriksaan mendapati gas nitrogen itu bocor dan mengeluarkan asap putih di bawah tangki lori berkenaan. Kita menutup suis utama tangki bagi mengawal gas daripada keluar.

"Operasi mengawal kebocoran gas itu mengambil masa hampir satu jam. Kita menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan tiada lagi kebocoran sebelum beredar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 12:02 PM