Hadzlihady Hassan


Georgetown: Lelaki warga Indonesia koma selepas dibelasah dan ditikam lima rakan senegara di Paya Terubong, di sini, semalam.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun cedera di kepala serta luka seluruh badan akibat ditikam objek tajam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian dipercayai berlaku kerana kumpulan lelaki terbabit cemburu selepas mangsa keluar bersama wanita Indonesia ke pusat karaoke.

"Mereka mengekori mangsa yang ketika itu menghantar wanita terbabit pulang.

"Mangsa ditemui tidak bermaya dalam longkang di kawasan semak oleh penduduk flat sebelum mereka menghubungi ambulan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis sedang memburu semua suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 4:05 PM