RUANG kabin yang mewah.
RUANG kabin yang mewah.
Oleh Erywan Norshal


Kejayaan merintis inovasi hampir 40 tahun dalam segmen premium menjadi inspirasi pembikinan model baharu BMW 7 Series dalam menghasilkan perubahan besar daripada segi dinamik dan kemewahannya.

Limosin mewah daripada pengeluar automotif Jerman itu menyerlahkan interpretasi keseronokan pemanduan yang kontemporari dengan menfokuskan kepada konsep masa depan.

Pendek kata, BMW 7 Series serba baharu kini membabitkan sebuah sedan mewah paling maju dalam segmennya yang digabungkan dengan penampilan berprestij, ruang dalaman mewah, operasi intuitif terkini dan ketersambungan pintar.

Ia didatangkan dalam dua varian iaitu BMW 740Li dan BMW 730Li dan bentuknya lebih panjang iaitu 5,238 milimeter (mm) berbanding generasi sebelum ini iaitu 5,219 mm.

Dimensi lain seperti lebar, tinggi dan tapak rodanya masih tidak berubah sekali gus menjadi model paling besar pernah dihasilkan BMW.

Bagi varian BMW 740Li, ia dilengkapi lampu laser yang mempunyai mod lampu tinggi sejauh 600 meter iaitu dua kali lebih jauh berbanding lampu LED.

Penampilan menarik dan eksklusif BMW 740Li ditingkatkan lagi dengan rim aloi ringan bilah berkembar bersaiz 19 inci serta rekaan jejari V bagi BMW 730Li.

BMW 740Li dipadankan enjin petrol enam silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran tiga liter dengan menggunakan transmisi lapan kelajuan Steptronic yang menjana kuasa maksimum 326hp, tork setinggi 450Nm dan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 5.5 saat.

BMW 730Li pula dijanakan enjin petrol empat silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran dua liter berupaya menghasilkan kuasa mencecah 258hp dan tork 400Nm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 6.3 saat.

Malah jentera itu dileng­kapi suis Kawalan Pengalaman Pemanduan dengan mod ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Eco Pro’ dan ‘Adaptive’. Faktor paling canggih pada jentera itu adalah Kunci Paparan BMW yang menjadi ciri pertama segmen mewah di dunia.

Kunci itu akan memaparkan pelbagai status data kenderaan dan memboleh­kan beberapa operasi dipilih menerusi ciri Touch Display yang bersepadu.

Ia membolehkan pemandu memeriksa takat bahan api, jarak semasa kenderaan, status sistem kunci berpusat kenderaan, tingkap dan bumbung kaca, selain mampu mengaktifkan sistem pendingin hawa serta ventilasi kenderaan.

Selain itu, pemanduan BMW 7 Series dipertingkatkan menerusi stereng yang lebih sensitif dan talaan kerangka pasukan jurutera pakar BMW. Ia dipasang bersama ‘Dynamic Damper Control’ yang didatangkan sebagai satu ciri standard untuk BMW 7 Series.

Penggunaan suspensi udara itu memberikan pengalaman pemanduan yang sangat selesa dan lincah. Sebagai contoh, pada kelajuan melebihi 120km/j, badan kenderaan akan direndahkan sebanyak 10 milimeter untuk meningkatkan aerodinamik.

Harga runcit atas jalan tidak termasuk insurans bagi BMW 730Li ialah RM698,800, manakala RM888,800 bagi BMW 740Li.

Bagaimanapun, BMW Group Malaysia menawarkan edisi Ulang Tahun ke-100 apabila kedua-dua model itu dijual pada harga masing-masing iaitu RM598,800 dan RM788,800.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:02 AM