2 koleksi diperkenalkan khas untuk wanita mahu bergaya pantas.
2 koleksi diperkenalkan khas untuk wanita mahu bergaya pantas.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Tampak unik namun masih memberi fokus terhadap keselesaan si pemakai. Biarpun rekaannya agak janggal bagi pemakai wanita, ada alasan menarik yang diberikan pemilik butik dalam talian ini.

Pengasas butik dalam talian Shiqeen Sattar, Mas Norashikain Md Satar berkata, koleksi tudung dan seluar jenamanya mula ditampilkan untuk kali pertama pada Dec 2015 lalu pada acara KL Fashion Trend 2016 di Pusat Kraf Kuala Lumpur.

“Idea asal tercetus sejak saya mula berhijab kerana agak sukar untuk mencari tudung dan seluar yang sesuai. Tambahan pula, saya selalu mengenakan seluar ketika bekerja selain masa yang tidak menentu keluar bertugas saban hari.

“Justeru, saya perlu bersiap dengan cepat. Namun, kebanyakan selendang di pasaran sekarang tidak menepati cita rasa saya kerana menggunakan kain yang perlu digosok,” katanya.

Selepas melalui pengalaman sukar itu, timbul idea untuk membuat tudung dan seluar sendiri menggunakan material yang tidak perlu digosok untuk mengekalkan penampilan kemas.

Ujarnya, terdapat dua koleksi yang diperkenalkan iaitu Swarovski Hijab dan Senorita Pants yang dicipta khas untuk wanita yang mahu bergaya pantas.

Helaian rekaan tudung yang direka mudah disarung untuk ke mana saja. Bagi menambah tarikannya, tambahan perincian batu swaroski digunakan.

Bagi menonjolkan penampilan sedikit moden, rekaan di bahagian depan tudung diubah. Lebih mudah apabila si pemakai tidak perlu menggunakan pin atau anak tudung kerana menggunakan fabrik yang tidak jarang.

Selain tudung, koleksi seluar yang direka itu juga mudah digayakan. Potongan longgar pada setiap helaian seluar berkenaan boleh dipadankan bersama pakaian kerja, kasual mahupun majlis tertentu.

Material moss crepe yang digunakan tidak perlu digosok dan fleksibel memudahkan pergerakan si pemakai terutama wanita hamil.

Lebih mudah apabila koleksi berkenaan boleh didapati secara dalam talian di Facebook dan Instagram, Shiqeen Sattar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:01 AM