Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional Berhad (BSN) melihat tiada keperluan buat masa ini untuk melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bersama bank komersial lain sama ada untuk tempoh jangka masa pendek atau panjang.

Bagaimanapun, bank nasional itu sedia untuk mempertimbangkan sebarang langkah M&A sekiranya ia adalah inisiatif terakhir untuk menjana keuntungan atau menjadi kunci kepada kelangsungan BSN dalam industri perbankan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif BSN Datuk Adinan Maning berkata, dalam arena perbankan domestik ketika ini, peranan BSN sebagai institusi kewangan pembangunan (DFI) adalah berdasarkan tanggungjawab melengkapkan perkhidmatan perbankan yang disediakan oleh bank komersial sedia ada di Malaysia.

“Kehadiran BSN dalam industri adalah begitu istimewa dengan fungsi tersendiri dan bukan wujud semata-mata untuk bersaing dengan bank komersial. Oleh itu, tidak timbul isu mengenai perlunya untuk melakukan M&A bagi tujuan memperkasakan BSN dengan tujuan untuk persaingan.

“Jadi, sebagai bank nasional, ia adalah unik jika dibandingkan dengan bank komersial kerana BSN mempunyai dua objektif utama iaitu untuk menjana keuntungan bagi kemampanan bank dan memacu mandat yang diberikan kerajaan,” katanya, di sini.

Beliau berkata, sekalipun tawaran yang diberikan untuk M&A adalah amat sukar untuk ditolak, keputusan untuk melakukan perkara terbabit hanya boleh ditentukan oleh pihak berkepentingan ke atas BSN sendiri.

Sementara itu, Adinan berkata, BSN juga tidak merancang membuka cawangan baharu pada tahun ini disebabkan bank nasional itu kini mempunyai 401 cawangan dan turut disokong oleh lebih dari 6,000 Ejen Bank (EB) yang terdapat di setiap mukim di seluruh negara.

Setakat ini, BSN mempunyai seramai 7,000 kakitangan di seluruh negara dengan 872 mesin juruwang automatik (ATM), 372 mesin deposit wang tunai (CDM) dan lebih 6,000 Ejen Bank di seluruh negara dengan jumlah pelanggan seramai 9.1 juta.

Selain itu, BSN juga adalah bank perintis dalam sektor perbankan tempatan yang telah menambah baik sistem kaunter manual sedia ada dengan pengenalan inisiatif baharu iaitu perkhidmatan Mesin Juruwang Maya (VTM) dengan 99 unit VTM ditempatkan di 31 cawangan BSN dan selebihnya akan ditambah secara berperingkat.

Dalam perkembangan lain, selama lebih 40 tahun penubuhannya, BSN terus komited dalam menyokong aspirasi kerajaan sebagai sebuah institusi perbankan yang diberi tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan menabung untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Selain menyediakan rangkaian produk perbankan runcit, BSN terus menjalankan skim pinjaman khusus untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi kumpulan sasar serta mengukuhkan tahap pengetahuan kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 7:53 AM