ALLI (kanan) bantu Spurs benam Watford.
ALLI (kanan) bantu Spurs benam Watford.

London: Tottenham Hotspur tidak mahu mengambil risiko dengan Dele Alli kelmarin, namun apabila pemain remaja itu dimasukkan ketika menentang Watford, pasukan itu sekali lagi bertuah dengan sentuhan magisnya.

Alli, yang semakin meningkat sebagai permata baru Liga Perdana, disanjung sebagai “fantastik” oleh pengurus Mauricio Pochettino selepas terbukti dia menjadi pengubah permainan ketika menang 1-0 sekali gus melonjakkan kelab London itu ke tangga kedua liga.

Pemain berusia 19 tahun itu agak hambar ketika menentang Norwich City, memaksa Pochettino mengeluarkannya pada rehat babak pertama pertengahan minggu lalu.

Bermain selamat bagi mengelakkan kecederaan, Spurs memutuskan untuk merehatkan bintang mereka di bangku simpanan menentang Watford dan Spurs hilang penguasaan ketika mereka gagal mencari jalan mengatasi bekas penjaga gol mereka Heurelho Gomes.

Dalam tempoh tiga minit selepas masuk pada minit ke-60, Alli mempamerkan bakat sebenarnya, melakukan hantaran lintang menakjubkan dari kiri buat Kieran Trippier menampan masuk gol tunggal.

Ia gol pertama buat Trippier di kelab itu namun dia memuji sumbangan rakan sepasukannya itu.

“Setiap orang tahu keupayaan Dele dan dia mampu mengubah permainan,” kata Trippier.

Kemenangan itu membantu Spurs melonjak ke tangga kedua, lima mata di belakang pendahulu Leicester City yang memberikan anak buah Pochettino segelumit harapan apabila mereka berkunjung ke Stadium Etihad hujung minggu ini selepas menewaskan Manchester City 3-1 kelmarin. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:39 AM