PASUKAN mencari dan menyelamat memeriksa rumah yang runtuh akibat gempa bumi di Hakuba.
PASUKAN mencari dan menyelamat memeriksa rumah yang runtuh akibat gempa bumi di Hakuba.
AP

Tokyo: Sekurang-kurangnya 37 rumah di dua perkampungan musnah dan 39 penduduk cedera, termasuk tujuh daripadanya parah dalam gempa bumi yang melanda bekas lokasi Sukan Olimpik Musim Sejuk 1998 malam kelmarin.

Di Hakuba, sekurang-kurangnya 30 rumah musnah dan 17 cedera. Tujuh lagi rumah musnah di perkampungan berhampiran, Otari.

Kemusnahan turut membabitkan bangunan bukan kediaman.

Agensi Kaji Cuaca Jepun berkata, gempa dengan magnitud-6.7 itu melanda bandar Nagano jam 10 malam (waktu tempatan) Sabtu lalu. dengan kedalaman 10 kilometer.

Bagaimanapun, gempa bumi berlaku di kawasan darat di pedalaman bererti tiada risiko tsunami berlaku.

Pihak berkuasa Nuklear Jepun berkata, tiada apa-apa yang luar biasa dilaporkan di tiga loji nuklear di kawasan terbabit.

Semua loji nuklear Jepun ditutup selepas gempa bumi dengan magnitud 9.0 dan tsunami pada 2011 yang mengakibatkan tiga reaktor di loji Fukushima Dai-ichi musnah, Fukushima terletak 250 kilometer di timur laut lokasi gempa terbaru itu.

Pemilik restoran Ryo Nishino di Hakuba, sebuah bandar resort ski di barat Nagano berkata, dia tidak pernah mengalami gempa bumi sekuat itu.

“Gegarannya amat kuat, tetapi mujur ketika itu saya berada di bilik bawah tanah dan tiada kerosakan teruk,” katanya.

Rakaman televisyen Jepun menunjukkan beberapa bangunan rosak teruk malah ada juga musnah sepenuhnya selain jalan raya merekah.

Tanah runtuh turut berlaku di sebuah landasan kereta api memaksa perkhidmatan digantung.

Kira-kira 200 orang dipindahkan dan hampir semuanya dari Hakuba serta Otari.

Pegawai pengurusan bencana wilayah Nagano, Shigeharu Fujimori berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kawasan paling teruk mengalami kesan sebenarnya di pergunungan dan perkampungan yang tidak ramai penduduk.

“Hubungan mereka begitu akrab dan mereka sentiasa tolong menolong satu sama-lain,” kata Fujimori.

Agensi Polis Kebangsaan dilapor berkata, 21 orang yang terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka berjaya diselamatkan dan daripada jumlah itu, hanya dua parah.

Polis turut pergi dari rumah ke rumah, semalam, untuk memastikan tiada mangsa yang terperangkap.

Sementara itu, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Shinkansen berjaya dipulihkan selepas gangguan singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:19 AM