London: Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino percaya penyerangnya, Harry Kane (gambar) serta bintang Leicester City Jamie Vardy adalah setanding dengan penggempur Manchester City Sergio Aguero.

Vardy yang setakat ini mengumpul 18 gol, berjaya membantu Leicester menduduki tangga teratas liga manakala Harry Kane yang berada di tangga kedua senarai penjaring dengan 15 gol, mengetuai cabaran Spurs musim ini.

Aguero yang kerap dilanda masalah kecederaan, muncul penjaring terbanyak liga musim lalu dengan 26 gol dan namanya sering dilabel sebagai antara penyerang terbaik dunia.

Walaupun bermain kurang 800 minit berbanding Vardy dan Kane musim ini, dia tetap berjaya menghasilkan 13 gol di peringkat liga termasuk lima yang dijaringkan sepanjang tiga perlawanan terakhirnya.

“Hari ini, Vardy dan Kane menunjukkan kualiti dan ia kualiti sama dengan dimiliki Aguero,” kata Pochettino.

“Mereka semua berbeza dan mempunyai latar belakang berbeza tetapi hari ini Vardy dan Kane berada pada tahap sama dengan Aguero.”

Pochettino enggan membesarkan masalah pemain Tottenham Dele Alli yang terpaksa dikeluarkan ketika pasukannya menang ke atas Norwich City tetapi berharap pemain berusia 19 tahun itu kembali cergas menjelang pertemuan dengan Watford.

“Kami tidak tahu mengapa dia kelihatan letih dan pening. Kami tidak bimbang. Kami hanya perlu menjalani ujian untuk mendapat tahu puncanya tapi yakin ia bukan masalah besar,” kata bekas pengurus Southampton itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:05 AM