Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Naib juara Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) mengakui perasaannya sekarang bercampur-baur sebelum berangkat ke Hyderabad, India di Kejohanan Asia Berpasukan (kelayakan Piala Thomas).

Menurut pemain kelahiran Johor itu, dia sekarang ini bersemangat untuk membantu skuad negara mencatat keputusan terbaik namun dalam masa sama tetap gementar kerana negara lain menghantar skuad utama.

“Bersemangat campur gementar. Bagaimanapun selepas tengok undian saya sedikit gembira, sekarang kita boleh bermain seperti tiada apa yang merugikan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, walaupun dibarisi skuad muda, dia berharap mampu membuat kejutan terutama untuk menumbangkan negara yang kuat.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama penyandang juara Piala Thomas, Jepun manakala dua lagi negara, Sri Lanka serta Nepal dengan format pertandingan dua pasukan terbaik mara ke suku akhir.

“Bagi saya sekarang ini tiada apa untuk diperbaiki cuma berharap semua pemain mampu mengekalkan semangat berpasukan.

“Saya juga mempunyai pengalaman beraksi dalam acara berpasukan ketika bermain Piala Axiata dan Liga Indonesia. Apapun kejohanan ini cabaran lagi besar kerana seluruh rakyat Malaysia akan melihat kemampuan kami,” katanya.

Selain Iskandar, turut membawa cabaran negara ialah Zulfadli Zulkiffli, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven (perseorangan lelaki), Tan Kian Meng-Low Juan Shen, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Tan Chee Tean-Tan Wee Gieen (beregu lelaki).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 5:50 AM