Lubang pada badan  pesawat Airbus A321 itu, dipercayai akibat letupan bom.
Lubang pada badan pesawat Airbus A321 itu, dipercayai akibat letupan bom.

Mogadishu: Seorang lelaki yang tidak dikenali disedut keluar dari kapal terbang dinaikinya ketika pesawat itu berada pada ketinggian 4,270 meter.

Kejadian berlaku selepas badan pesawat itu berlubang, dipercayai akibat letupan bom, hanya lima minit selepas jet Airbus A321 itu berlepas dari lapangan terbang di sini, semalam.

Saksi mendakwa mayat lelaki warga emas itu jatuh ke bumi kira-kira 24 kilometer dari lapangan terbang selepas kejadian.

Pihak berkuasa syarikat penerbangan mendakwa dua orang cedera akibat letupan itu, yang menyebabkan lubang kira-kira dua meter panjang dan satu meter lebar pada badan aluminium berkenaan.

Juruterbang Vladimir Vodopivec, 64, berkata: “Saya percaya ia disebabkan bom. Mujur sistem kawalan kapal terbang tidak rosak, membolehkan saya sempat berpatah balik.

Sumber memberitahu CNN, ujian awal menunjukkan ada sisa letupan, bererti pesawat itu mungkin menjadi sasaran serangan pengganas.

Pegawai penerbangan Somalia, Ali Mohamoud berkata, pesawat Daallo Airlines itu dalam penerbangan ke Djibouti tetapi terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Mogadishu.

Anggota polis di bandar Balad, tidak jauh dari Mogadish, Mohamed Hassan berkata, penduduk menemui mayat seorang lelaki warga emas yang dipercayai jatuh dari pesawat itu.

Balad bandar pertanian terletak 29km ke utara Mogadishu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 9:15 AM