ANAK Bajau Laut sentiasa gembira dengan kedatangan tetamu ke kampung mereka.
ANAK Bajau Laut sentiasa gembira dengan kedatangan tetamu ke kampung mereka.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Pulau-pulau yang terletak di Semporna, Sabah, sememangnya terkenal dalam kalangan peminat aktiviti menyelam dari seluruh dunia.

Hidupan marinnya yang pelbagai serta kejernihan dan kebiruan airnya sentiasa mempersonakan pengunjung.

Sebut sahaja Pulau Sipadan, Mabul, Kepalai dan Bohey Dulang, sudah terbayang keindahan panoramanya di ruang minda.

Selain menjadi tumpuan penyelam, kepulauan ini turut menjadi ‘syurga’ jurufoto sama ada profesional mahupun amatur merakamkan suasana indah melalui lensa kamera masing-masing.

Jurufoto profesional, Mohd Rizal Ismail dari Kedah berkata, keindahan pulau di perairan Semporna membuatkan dia tidak jemu mengikuti trip bersama rakan jurufoto lain dari seluruh negara.

“Sudah 15 kali saya ke sini kerana tarikan utamanya bukan sekadar pemandangannya yang cantik, tetapi juga corak kehidupan masyarakat Bajau Laut yang unik menjadi subjek utama tujuan kita ke sini,” katanya.

Selain merakamkan kenangan itu, secara tidak langsung mereka turut berkongsi pandangan berkaitan teknik bagi memantapkan lagi hasil fotografi mereka.

Selain itu, suasana malam yang dingin dan langit terbentang luas dengan jutaan bintang turut menjadi detik istimewa untuk diabadikan.

Antara pulau yang menjadi tumpuan utama ialah Pulau Bohey Dulang yang menjadi destinasi wajib pengunjung bergambar di puncaknya walaupun terpaksa mendaki setinggi 600 meter.

Menariknya, di Pulau Gusungan pula, walaupun cuma seluas padang bola ia dihuni enam keluarga dan cuma ada dua pokok kelapa serta sepohon pokok ketapang.

Selain tarikan panoramanya, makanan laut yang pelbagai dengan harga murah juga menjadi faktor menarik pelancong ke sini.

Makanan halal pula tidak pula menjadi masalah kerana kebanyakan penduduknya beragama Islam.

Di Semporna dan Mabul juga terdapat banyak chalet yang sedia menanti pengunjung. Sewanya pula serendah RM100 semalam sehingga resort mewah yang mencecah ribuan ringgit.

Namun begitu, untuk ke kepulauan yang terletak dalam perairan Taman Laut Tun Sakaran ini, pengunjung perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Taman Laut Sabah.

Sebelum insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 2013, satu rombongan dihadkan 15 orang sahaja dan selepas pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah atau ESSCOM, jumlah ahli setiap perjalanan dikecilkan kepada 12 orang.

Lazimnya, pengunjung dari Semenanjung akan memilih penerbangan terus ke Tawau sebelum mengambil jalan darat ke pekan Semporna. Untuk ke Mabul sebagai pulau utama, perkhidmatan bot digunakan dan mengambil masa sekitar satu setengah jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 5:05 AM