KEADAAN mesin ATM yang dipecahkan tiga perompak.
KEADAAN mesin ATM yang dipecahkan tiga perompak.
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Tiga perompak bertopeng bertindak memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) disyaki menggunakan alat pemotong besi gas oxy-acetylene sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM252,000 di pasaraya besar di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 4 pagi itu disedari oleh penyelia pasaraya terbabit selepas mendapati bahagian bawah mesin ATM itu dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek terbabit muncul dari arah pintu utama pasaraya berkenaan sebelum menuju ke bahagian ATM.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menujukkan ketiga-tiga mereka menggunakan alat disyaki pemotong besi oxy-acetylene bagi memecah bahagian bawah mesin ATM.

"Suspek kemudian melarikan melarikan empat peti wang tunai berjumlah RM252,000. Malah siasatan turut mendapati suspek bertindak menyembur cat hitam di CCTV pada mesin ATM bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti," katanya.

Menurutnya, polis masih lagi memburu ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan bencana dengan menggunakan api dan Seksyen 379 KK kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 3:56 PM