PEMANDANGAN dari udara sebuah lombong di Norilsk.
PEMANDANGAN dari udara sebuah lombong di Norilsk.
SALJI tebal meliputi sebuah bangunan usang.
SALJI tebal meliputi sebuah bangunan usang.
SEORANG wanita mendukung anaknya berdiri di depan tingkap yang diliputi ais.
SEORANG wanita mendukung anaknya berdiri di depan tingkap yang diliputi ais.
KEADAAN di dalam sebuah bangunan dipenuhi salji tebal.
KEADAAN di dalam sebuah bangunan dipenuhi salji tebal.

Kehidupan penduduk di Norilsk, sebuah bandar terpencil Siberia di Russia boleh dianggap seperti berada di dalam peti sejuk kerana hampir sepanjang tahun dilanda cuaca sejuk melampau.

Suhu purata bandar itu adalah -10 darjah Celsius dan boleh mencapai suhu serendah -55 darjah Celsius pada musim sejuk yang tidak berkesudahan.

Pada setiap tahun terdapat dua bulan di mana penduduk di bandar ini terpaksa berdepan dengan kegelapan sepanjang hari.

Keadaan yang dikenali sebagai malam polar ini berlaku di kawasan utara dan selatan Bulatan Artik akibat tidak menerima cahaya matahari yang mencukupi.

Lebih teruk lagi, penduduk di bandar ini terpaksa berdepan dengan salji yang turun selama lapan hingga sembilan bulan pada setiap tahun.

Bagaimanapun, bandar yang terletak kira-kira 402 kilometer dari Bulatan Artik ini kaya dengan hasil bumi seperti nikel dan tembaga menjadikan industri perlombongannya berkembang pesat.

Kekayaan hasil bumi ini menjadi satu-satunya faktor mengapa manusia sanggup tinggal di Norilsk.

Sejarah Norilsk bermula apabila tahanan Gulag digunakan bagi mengembangkan penempatan Siberia itu pada 1935 dan dalam tempoh 20 tahun lebih 500,000 tahanan terbabit dalam pembinaannya.

Sepanjang pembinaan, ribuan tahanan kehilangan nyawa.

Hari ini, Norilsk bandar yang terletak paling utara di bumi, mempunyai 170,000 penduduk.

Jurugambar Russia, Elena Chernyshova menghabiskan beberapa minggu di sana untuk projek foto yang bertajuk ‘Days Of Night - Nights Of Day.’

Beberapa gambar menunjukkan penduduk berjemur, berkelah dan berparti untuk memanaskan badan ketika musim sejuk.

Cuaca sejuk melampau menyebabkan tempat untuk bersukan, beli-belah dan perjumpaan sosial diadakan di dalam bangunan.

Kanak-kanak sering menghabiskan beberapa bulan di dalam rumah, mujur bandar itu mempunyai bangunan besar tempat mereka menikmati aktiviti riadah seperti berbasikal dan bermain.

Norilsk pertama kali diteroka pada awal 1990-an selepas penemuan mineral berharga di kaki gunung Putorana.

Pada 1935, Kesatuan Soviet mula membina sebuah kompleks perlombongan untuk mengekstrak mineral berkenaan.

Banduan dipaksa bekerja di lombong itu menyebabkan ramai yang mati di tanah terbiar di Artik ini.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991 bandar itu terus berkembang pesat dan menjadi peneraju dunia dalam pengeluaran nikel dan palladium.

Ia menyumbang kepada dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar Russia.

Tetapi keadaan pekerja di sektor pelombongan masih belum baik.

Pampasan yang diberikan adalah cuti panjang 90 hari setahun dan bersara ketika usia 45 tahun.

Norilsk secara konsisten berada dalam senarai 10 teratas bandar paling tercemar di bumi akibat aktiviti perlombongan.

Setiap tahun, lebih dua juta tan gas (terutamanya sulfur dioksida, nitrogen oksida dan fenol) dibebaskan ke udara.

Jangka hayat bandar ini kurang 10 tahun daripada kawasan lain di Russia, dengan risiko kanser dua kali lebih tinggi dan peningkatan penyakit pernafasan.

Beberapa kajian menunjukkan kualiti udara adalah punca 37 peratus kematian kanak-kanak dan 21.6 peratus orang dewasa di bandar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:01 AM