Tidur lewat kerana menyelesaikan tugasan diamanahkan pensyarah, menimbulkan sedikit kesulitan buat Durrotul Yatiemah Rahmat untuk bangun awal pagi menunaikan solat Subuh.

Berusaha memperbaiki kekurangan diri, gadis berusia 21 tahun ini diperkenalkan kepada aplikasi 'Never Miss Fajr' menerusi laman sosial media.

"Saya mendapat tahu mengenai aplikasi ini melalui facebook apabila seorang blogger memuat naik status berkaitan 'Never Miss Fajr'.

"Kemudian, saya memuat turun aplikasi yang dibangunkan Mpyre Software Inc ini secara percuma menerusi Play Store.

"Aplikasi ini juga mesra peng­guna dan sedikit sebanyak ia membantu saya untuk bangun pagi menunaikan solat Subuh," katanya.

Aplikasi 'Never Miss Fajr' berfungsi sebagai jam penggera azan Subuh. Pengguna boleh menyelaraskan fungsi aplikasi mengikut kedudukan geografi, jenis azan dan kaedah untuk bangun solat Subuh.

Menariknya, aplikasi ini boleh menjadi terlalu mengganggu sekiranya pengguna tidak bangkit menunaikan solat.

Menurut Durrotul Yatiemah, azan Subuh bergema, penggera ini akan sentiasa berbunyi selagi peng­guna tidak bangun dan mematikan penggera.

Katanya, terdapat dua cara untuk menghentikan penggera iaitu menggoncangkan telefon me­ngikut ketetapan awal dilakukan pengguna, minimum 10 gonca­ngan hingga maksimum 100.

Jadi, pengguna perlu bangun dan menggoncangkan telefon hingga memenuhi bilangan goncangan ditetapkan.

Sama ada pilihan kedua, menjawab lima soalan berkaitan Islam dan penggera hanya akan berhenti berbunyi selepas pengguna berjaya memberi jawapan yang betul.

Selain membangunkan peng­guna untuk menunaikan solat Subuh, aplikasi ini juga turut me­nyenaraikan waktu solat yang lain tetapi tanpa fungsi penggera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 12:52 AM