API marak membakar rumah di Kampung Bintawa Hilir. FOTO ihsan Bomba
API marak membakar rumah di Kampung Bintawa Hilir. FOTO ihsan Bomba
Oleh Abd Rahman Adam

Kuching: Empat rumah musnah sekali gus menyebabkan 17 mangsa hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Kampung Bintawa Hilir, 1.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, seorang mangsa turut melecur ketika cuba menyelamatkan ahli keluarganya yang lain, sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Kebakaran turut memusnahkan lima motosikal dan dua kereta.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, dua jentera bomba bersama 16 anggota, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dan Tabuan Jaya, bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada1.39 pagi.

Katanya, sebaik tiba api marak membakar hampir keseluruhan rumah sebelum dikawal kira-kira setengah jam kemudian.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kecuali seorang mangsa didapati melecur. Namun, keadaannya dilaporkan stabil dan menerima rawatan di HUS.

"Punca kejadian dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 8:39 AM