PEKERJA ladang menjemur lada hitam yang baru dipetik.
PEKERJA ladang menjemur lada hitam yang baru dipetik.
LADANG lada hitam di Sarawak.
LADANG lada hitam di Sarawak.
NOOR Azlan (kanan) bertukar-tukar dokumen dengan Grunsin selepas majlis MoA dan MoU.
NOOR Azlan (kanan) bertukar-tukar dokumen dengan Grunsin selepas majlis MoA dan MoU.
Oleh Mohamad Hussin

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lembaga Lada Malaysia (MPB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bagi meningkatkan kefahaman dan penyelidikan dalam bidang agronomi, bioteknologi serta pembiakbakaan lada.

Kerjasama itu turut membangunkan aplikasi penasihatan mudah alih bagi tanaman lada hitam atau m-Naslada kepada pekebun.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata, jaringan kerjasama strategik itu untuk meningkatkan nilai tambah dan kelestarian industri lada bagi memacu MPB sebagai peneraju pasaran lada dunia.

Beliau berkata, hasil kerjasama itu dapat manfaat kepakaran kedua-dua pihak untuk membentuk sinergi bagi pengembangan industri lada hitam.

“Antara bidang kerjasama ialah meningkatkan kefahaman dan penyelidikan dalam bidang agronomi, bioteknologi dan dan pembiakbakaan lada serta menyediakan peluang untuk warga MPB menyambung pengajian di UKM.

“Menjalankan program latihan khas dalam bidang penjenamaan dan pembangunan pasaran serta membangunkan produk berasaskan ekstrak lada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili UKM pada majlis MoU dan MoA, manakala MPB diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Grunsin Ayom.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah MPB Philip Gaweng dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM Prof Dr Sahrim Ahmad.

Noor Azlan berkata, aplikasi m-Naslada platform alternatif membantu pekebun lada hitam membuat keputusan betul ketika mengendalikan isu pertanian khususnya dalam pengurusan penyakit.

“Aplikasi berkenaan menyediakan maklumat berkaitan lada hitam yang boleh dicapai bila-bila masa melalui telefon pintar.

“Projek penyelidikan ini dilaksanakan untuk membangunkan aplikasi mudah alih bagi memberi nasihat mengenai penyakit tanaman lada hitam berdasarkan nasihat pertanian iaitu kesukaran pekebun yang berada di kawasan pendalaman untuk bertemu pengawai pengembangan pertanian,” katanya.

Menurutnya, UKM sebagai universiti penyelidikan di Malaysia berhasrat memperkayakan khazanah di bidang yang mempunyai kepakaran supaya dapat dimanfaatkan bagi kepentingan pembangunan negara.

“Bagi mencapai matlamat ini, UKM bekerjasama dengan industri dan agensi kerajaan termasuk masyarakat melalui pembabitan berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan dan khidmat,” katanya.

Sementara itu, Grunsin berkata, MPB sebuah badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang ditubuhkan mengikut Akta Lembaga Lada Malaysia 2006 pada 1 Januari 2007.

“MPB berperanan membangunkan industri lada dengan menggalakkan penanaman dan penyelidikan lada serta membangunkan matlamat, dasar dan keutamaan negara bagi pembangunan serta pentadbiran industri itu.

“Kami turut menyumbang RM3 juta bagi menjalankan empat projek berkenaan. Kerjasama ini diharap dapat memberi manfaat kedua-dua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 10:37 AM