Penduduk melihat serpihan dipercayai daripada bangkai pesawat di pantai Pa Thya di Nakhorn Si Thammarat, semalam. FOTO Reuters
Penduduk melihat serpihan dipercayai daripada bangkai pesawat di pantai Pa Thya di Nakhorn Si Thammarat, semalam. FOTO Reuters
BERNAMA

Bangkok: Serpihan yang dijumpai di pantai Nakhon Si Thammarat semalam sudah dibawa ke Bangkok hari ini untuk dianalisis lebih lanjut oleh pakar penerbangan negara itu.

Ini disahkan oleh jurucakap Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF), Naib Marsyal Udara Porngsak Semachai yang berkata, pesawat membawa serpihan itu mendarat di pangkalan udara tentera Dong Mueang pada 5 petang (6 petang waktu Malaysia).

"Serpihan itu akan disimpan di pangkalan udara Dong Mueng untuk membolehkan pakar membuat pemeriksaan selanjutnya," kata beliau kepada Bernama dalam temu bual melalui telefon di sini, hari ini.

Dua hari lalu, beberapa nelayan menjumpai serpihan dipercayai daripada bangkai pesawat terdampar di pantai Pa Thya di Nakhorn Si Thammarat dan memaklumkan kepada pihak berkuasa, kerana percaya objek itu ada kaitan dengan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines.

Penerbangan MH370 yang dinaiki oleh 239 penumpang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Awal hari ini, empat pegawai Malaysia, dipercayai daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) melawat kawasan serpihan itu ditemui untuk mengumpulkan pelbagai data dan bukti sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 8:27 PM