Ingatkan filem Bunian Mahkota Seri Helang yang pernah diwar-warkan penerbitannya sekitar 2009 sudah tutup buku sebab se­nyap saja sampai sekarang tanpa secebis khabar berita.

Malah, ada antara pelakon yang sepatutnya menjayakan filem itu sudah meninggal dunia. Filem epik menelan belanja RM3.5 juta itu adalah taruhan pertama komposer terkenal, Datuk Adnan Abu Hassan di layar perak dan dibarisi Rusdi Ramli, Nasha Aziz dan ramai lagi.

Kebetulan teman Cik Pang bertemu komposer itu di satu acara baru-baru ini dan sempat berta­nya khabar mengenai projeknya yang terus senyap hingga kini.

Kata komposer itu, dia akan tetap teruskan pembikinan filem itu, cuma dia masih mengharapkan ada dana dan tajaan daripada pihak berkemampuan.

Kalau dulu, kosnya mungkin setakat RM3.5 juta tapi dek peralihan masa dan kenaikan harga barang, Cik Pang rasa RM3.5 juta memang tidak akan cukup.

Sebagai filem epik ala-ala Lord Of The Ring, pasti filem itu akan melalui proses imej janaan komputer (CGI) yang hebat.

Kadangkala Cik Pang geleng kepala juga apabila mendengar cerita yang tergendala di tengah jalan kerana masalah kewangan. Mungkin satu dua filem. Filem Hanyut contohnya, antara yang berdepan masalah itu dan apabila siap, masih ada masalah untuk kos promosi.

Filem The Chini masih dalam pembikinan dan memerlukan bantuan dana, manakala filem Pasir Salak terus tergendala hingga kini.

Terkadang Cik Pang berfikir mengapa harus labur wang besar untuk projek pertama, sedangkan pulangannya belum tentu lagi. Tidakkah mereka risau menghasilkan satu karya yang mendapat bantuan sana sini?

Pepatah ada mengatakan, ukur baju di badan sendiri supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:01 AM