Oleh Maiamalina Mohamed Amin.

Pasir Puteh: Kegembiraan enam sekawan memancing di Jeram Kopeh, Kampung Kopeh, Jalan Padang Pak Amat, di sini, berakhir dengan duka apabila seorang daripada mereka lemas selepas tergelincir.

Mangsa berusia 28 tahun gagal diselamatkan rakan, yang kemudiannya bertindak menghubungi bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan lapan anggota selepas menerima panggilan pads 4.57 petang.

"Kami turut dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Kota Bharu dan operasi mencari dimulakan pada 6.42 petang.

"Beberapa minit selepas itu mangsa ditemui anggota tersangkut di celah batu kira-kira tiga meter daripada tempat dia tergelincir.

"Mangsa dipercayai hanyut dibawa arus deras. Jasad ditemui kira-kira 7 petang. Jasad kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 10:35 PM