Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak antara 14 yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika operasi khas dilancarkan sejak 11 Januari lalu kerana disyaki terbabit dalam kes lesen terbang di negeri ini.

Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Badrul Shah Norman berkata, mereka yang ditahan berusia 19 hingga 50 tahun terdiri daripada tiga pegawai JPJ, sembilan orang awam yang ingin mendapatkan lesen memandu dan dua individu yang bertindak sebagai orang tengah.

Menurutnya, mereka ditahan di sekitar Limbang, Miri, Bintulu dan Sibu.

"Siasatan awal mendapati suapan diberikan bagi mendapatkan lesen memandu kenderaan pelbagai kelas tanpa menduduki ujian memandu, selain mengemukakan dokumen palsu.

"Nilai suapan dianggarkan antara RM2,500 dan RM2,800 bagi satu lesen mengikut kelas kenderaan yang dipohon," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Badrul berkata, operasi khas ini dijalankan berterusan dan dijangka ada susulan tangkapan dalam tempoh terdekat.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi SPRM Sarawak di talian 082-467701 atau 082-467702 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 7:11 PM