Naharuddin (dua dari kiri) bersama sebahagian peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) menyertai Bengkel Parabadminton di Dewan Badminton (PBNK) Kota Bharu. Foto NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Naharuddin (dua dari kiri) bersama sebahagian peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) menyertai Bengkel Parabadminton di Dewan Badminton (PBNK) Kota Bharu. Foto NSTP/NOR AMALINA ALIAS

Kota Bharu: Persatuan Badminton Kelantan (PBK) menghantar lapan pemain untuk menjalani latihan berprestasi tinggi selama seminggu di Jepun, menurut presidennya Dr Naharuddin Hashim.

Beliau berkata skuad negeri di bawah bimbingan ketua jurulatih Mohammad Izuan Ibrahim akan menjalani latihan bersama Persatuan Badminton Ehime, Persatuan Badminton Matsuyuma dan Persatuan Badminton Osaka.

Selain latihan, katanya pihaknya akan menjalin kerjasama teknikal dan pengurusan sains sukan dengan tiga persatuan berkenaan untuk pembangunan sukan di negeri itu.

"Menerusi latihan ini, kami harap pemain dapat didedahkan dengan corak dan teknik latihan di sana," katanya ketika ditemui selepas menghantar skuad itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dr Naharuddin bagaimanapun menafikan latihan di Jepun itu sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak, Julai depan.

"Persiapan menghadapi SUKMA akan dilakukan pada bulan depan sekembalinya Mohammad Izuan dari Jepun minggu depan.

"Selain itu, Mohammad Izuan juga diberi tanggungjawab sepenuhnya dalam pemilihan pemain kerana mempunyai pengalaman luas dalam bidang sukan berkenaan," katanya.

Mohammad Izuan, 30, anak kelahiran Tumpat, Kelantan sebelum ini mencipta nama sebagai jurulatih di Jepun.

Dia turut melatih pemain perseorangan Jepun, Kento Momota yang menjadi anggota skuad yang menjuarai Piala Thomas pada 2014.

Jurulatih berusia 30 tahun berasal dari Tumpat, Kelantan itu mula menjadi jurulatih bagi Persatuan Badminton Ehime, Jepun sejak 2010 dan menamatkan kontraknya tahun lalu. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 5:50 PM