PESERTA bergambar bersama Jengkeng (duduk kiri) selepas program berkenaan.
PESERTA bergambar bersama Jengkeng (duduk kiri) selepas program berkenaan.
Oleh Hai Rozzaman Jalal

Seramai 29 siswa Kursus Khidmat Masyarakat Seksyen 6 Pusat Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat menganjurkan program UTHM Care 2.0 bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Gembur dekat Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Program itu kesinambungan kepada program pertama sebelum ini bersama SK Bekoh yang secara tidak langsung dapat mempromosikan institusi pengajian tinggi itu kepada masyarakat luar termasuk Orang Asli.

Pengarah program Muhamad Muqri Mohd Jeffry berkata, program khidmat masyarakat itu dilakukan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada siswa mengaplikasikan kemahiran dipelajari kepada masyarakat.

Menurutnya, UTHM Care 2.0 dapat memupuk kesedaran mengenai peranan mereka yang bukan sekadar di sekitar dewan kuliah, malah bertindak sebagai ejen penggerak masyarakat dalam kerja kesukarelawan dan memupuk semangat kerjasama tinggi.

“Kami dapat mengasah kemahiran dan mempraktikkan teori dipelajari di dalam kuliah, selain menimba pengalaman baru menerusi pelbagai aktiviti dijalankan.

“Secara tidak langsung, kami dilatih melaksanakan tugasan secara intelektual dan bersedia mengatasi segala masalah secara kritis dan kreatif untuk memastikan program berjaya,” katanya.

Perasmian penutup program dua hari itu disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri.

Hadir sama Pengarah Pusat Kokurikulum UTHM Profesor Madya Dr Ahmad Esa, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Ledang Suzilla Baki, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ledang Md Rasyidi Md Dom, Guru Besar SK Bekoh Kamaruddin Ibrahim dan Tok Batin Kampung Tanah Gembur Jengkeng Jani.

Muhamad Muqri berkata, selama dua hari di perkampungan Orang Asli itu, pelbagai aktiviti dijalankan seperti bergotong-royong menghias pondok bacaan dan melukis mural di SK Bekoh.

Seramai 39 kanak-kanak Orang Asli daripada suku Temuan mengikuti kelas bimbingan Matematik dan Bahasa Inggeris yang dikelolakan siswa UTHM, manakala sukaneka dan melukis mural bangunan tadika diadakan bersama masyarakat Orang Asli di kampung itu.

“Jawatankuasa UTHM Care 2.0 turut mengagihkan sumbangan barangan makanan asas dan pakaian baru dan terpakai hasil sumbangan orang ramai kepada masyarakat Orang Asli Kampung Tanah Gembur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 11:28 AM