Oleh Dr Adilah Ahmat

Anak saudara saya yang berusia 13 tahun mengalami masalah haid tidak teratur. Dia mula didatangi haid sejak setahun lalu. Kitaran haidnya bukanlah dalam lingkungan 28 hingga 35 hari seperti kebiasaan, tetapi ada kalanya lebih daripada 35 hari dan ada kalanya selepas dua minggu tamat hari terakhir haid, dia didatangi haid semula.

Difahamkan keadaan ini normal bagi remaja. Saya ingin tahu, sehingga bilakah lazimnya kitaran haid yang tidak teratur ini berlanjutan? Adakah dia perlukan rawatan tertentu untuk membuatkan haidnya teratur atau membiarkannya saja sehingga keadaan pulih secara semula jadi? Untuk pengetahuan puan, bagi satu-satu kitaran haid, ia mengambil masa seminggu.

- Kitaran haid yang tidak menentu seperti yang dialami oleh gadis ini (21 hingga melebihi 35 hari) lazimnya disebabkan oleh gangguan hormon akibat ovulasi yang masih belum teratur. Stres misalnya peperiksaan boleh mengganggu ovulasi. Dalam kebanyakan kes yang diperiksa doktor, kebanyakannya tidak mempunyai masalah fizikal pada rahim serta ovari, cuma ujian darah menunjukkan ketiadaan ovulasi pada kitaran terbabit.

Tetapi ini tidak bermakna anak saudara anda juga normal, seeloknya dia dibawa menjalani pemeriksaan doktor sakit puan terlebih dulu. Kadang-kala ovulasi ada berlaku tetapi lambat, maka dia dijangka lambat didatangi haid.

Yang boleh memberi kesan kesihatan adalah jika kitaran haidnya kerap. Sekiranya dia kerap didatangi haid selepas dua minggu tamat haid sebelumnya, ini membuatkan dia ‘kehilangan’ darah dengan lebih kerap iaitu lebih banyak sehingga boleh menyebabkan masalah anemia (kekurangan hemoglobin). Dalam hal, ini, dia mungkin memerlukan ubat-ubatan, bukan saja untuk menambah kembali hemoglobin darahnya, tetapi juga ubat untuk mengurangkan haid dan menjarakkan haid bagi tujuan menghentikan ‘kebocoran darah melalui haid’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 11:25 AM