GAMBERO
GAMBERO

Kuala Lumpur: Kawasan selatan dan barat Kuala Lumpur dilihat berpotensi menjadi lokasi baru sebagai destinasi pelaburan strategik hartanah untuk dibangunkan pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif International Holding Sdn Bhd (International Holding), Dr Daniele Gambero berkata, selatan Kuala Lumpur dikenal pasti sebagai kawasan yang berkeupayaan berkembang pesat merangkumi Bangi, Kajang, Putrajaya, Cyberjaya dan Seremban.

Beliau berkata, ia disebabkan pembangunan rangkaian lebuh raya, Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 dan projek akan datang iaitu pembinaan laluan kereta api berkelajuan tinggi yang bakal menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, bagi Kuala Lumpur barat pula, ia dilihat mampu menjadi kawasan tumpuan utama disebabkan penguasaan kukuh dalam segmen logistik dan dalam masa sama akan dirancakkan melalui China’s One Road One Belt serta Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Kami menjangka untuk melihat peningkatan nilai lebih tinggi di kawasan selatan berbanding di sebelah barat kerana di sana pihak kerajaan menyuntik sejumlah besar pelaburan untuk membangunkan kawasan berkenaan,” katanya dalam ceramah bertajuk ‘Tinjauan Hartanah 2016’ di sini, semalam.

Gambero berkata, pembeli dinasihatkan memilih lokasi yang mempunyai kawasan tanah terhad atau membeli daripada pemaju hartanah terkemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:03 AM