Michael menasihatkan orang ramai menggunakan saluran yang betul jika mahu mengambil anak angkat. FOTO Nabihah Kamal
Michael menasihatkan orang ramai menggunakan saluran yang betul jika mahu mengambil anak angkat. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Wanita kerugian lebih RM20,000 apabila ditipu warga asing yang memberinya ‘anak segera’ sebelum diperas ugut supaya memulangkan semula anak itu dalam tempoh 24 jam, di sini, semalam.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 40, berkata, dia sudah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun tetapi belum mendapat anak menyebabkan dia mencari anak angkat.

"Saya berjumpa wanita warga asing itu di sebuah tokong, sebelum dia merayu mengambil anak lelakinya yang berusia 4 tahun untuk dijadikan anak angkat.

"Dia meminta bayaran RM20,000 dan saya bersetuju membayarnya," katanya.

Menurutnya, kegembiraan menjadi ibu lenyap sekelip mata apabila bapa kanak-kanak itu datang menuntut semula anak angkatnya.

"Dia mendakwa saya menculik menyebabkan saya terpaksa menyerahkan semula kanak-kanak itu kepadanya, manakala wang yang diberikan lesap," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA Datuk Seri Michael Choong berkata, dia sudah menerima lebih 10 kes sama sejak tahun lalu.

"Pasangan warga asing itu menggunakan taktik menyerahkan anak mereka untuk dijadikan anak angkat dengan meminta bayaran sebanyak RM20,000 untuk kanak-kanak lelaki dan RM15,000 untuk perempuan.

"Selepas pasangan bersetuju dan membuat pembayaran, mereka akan ambil semula kanak-kanak berkenaan dengan membuat ugutan" katanya ketika ditemui di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan saluran yang betul jika mahu mengambil anak angkat seperti yang sudah ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengelak ditipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 12:45 AM