ANTARA babak OMG2.
ANTARA babak OMG2.
UMI (dua dari kiri) memberikan arahan kepada pelakon.
UMI (dua dari kiri) memberikan arahan kepada pelakon.
IZZUE Islam.
IZZUE Islam.
ANTARA babak membabitkan (dari kiri) Tiz, Nadiya Nisaa, Akhmal dan Zizan.
ANTARA babak membabitkan (dari kiri) Tiz, Nadiya Nisaa, Akhmal dan Zizan.
BARISAN kru dan pelakon OMG2.
BARISAN kru dan pelakon OMG2.
Oleh Wahi Aziz


Setiap yang bermula pasti berakhir dan itulah yang berlaku pada siri televisyen popular, Oh My English apabila bakal melabuhkan tirai menerusi telefilem khas, Oh My Ganu 2 (OMG2).

Telefilem yang bersiaran pada 9 Januari ini jam 9 malam di Astro TVIQ (saluran 610) itu merungkai teka-teki lelaki pilihan Cikgu Ayu lakonan Tiz Zaqyah, sama ada Henry Middleton (Zain Saidin) atau Zizang (Zizan Razak).

Maka, sudah tentu pembikinan karya genre komedi dan pendidikan arahan Umi Omar itu meninggalkan kesan mendalam buat semua yang terbabit.

Hakikat itu diakui tenaga kerja produksi terbabit ketika RAP berkunjung ke set penggambarannya, baru-baru ini.

Membicarakan karya tulisan Baizura Kahar dan Megat Zahrin itu, Umi sebak apabila OMG2 penamat kepada siri popular itu.

“Kami bekerjasama sejak 2012 dan rapat bagaikan keluarga. Apabila perlu menamatkan keseluruhan kisah ini menerusi OMG2, ia perkara yang menyedihkan buat saya dan semua tenaga kerja.

“Namun, sudah jadi lumrah setiap yang bermula pasti berakhir dan kami kena terima dengan hati terbuka,” katanya.

Berkongsi pengalaman menerajui penggambaran telefilem berkenaan, Umi berkata, ia bukan sesuatu yang rumit kerana karya itu sudah sebati di hati.

“Jalan cerita telefilem ini ringkas dan mudah. Ia adalah kesimpulan kepada keseluruhan perjalanan OME selama ini.

“Watak dan pelakon pun tiada masalah sebab ia kesinambungan pada karya sebelum ini. Saya hanya pantau dan bimbing serba sedikit saja.

“Pendek kata proses penggambaran lancar kerana selepas ini tiada lagi projek OME,” katanya.

Zain sedih

Sementara itu, pelakon utama OME, Zain Saidin yang meraih populariti menerusi watak Henry Middleton mengakui berat untuk melepaskan karakter terbabit kerana ia sudah sebati dengan dirinya.

“Ramai kenal saya melalui watak ini. Sejak dua tahun lalu, saya hanya membintangi siri OME saja dan tiada tawaran lain.

“Jadi apabila dimaklumkan kemungkinan besar telefilem ini penutup OME, ia mungkin juga petanda kerjaya lakonan saya akan berakhir.

“Macam saya cakap tadi, sejak dua tahun lalu tiada tawaran lain. Jadi selepas ini tak tahulah apa akan jadi pada karier saya,” katanya.

Tiz pula menyifatkan pembabitan dalam siri OME dan OMG2 adalah pengalaman yang menyeronokkan dalam profil lakonannya.

“Punyalah lama saya terbabit dalam siri ini sampaikan watak Cikgu Ayu sudah sebati dengan diri dan saya ada ramai peminat cilik.

“Terlalu banyak pengalaman manis dengan produksi siri dan telefilem ini. Jika benar OMG2 adalah yang terakhir, ia memang sesuatu yang menyedihkan,” katanya.

Pelawak dan pelakon terkenal Zizan berkata, pembabitannya dalam telefilem OMG tahun lalu dan kini OMG2 adalah detik yang cukup menyeronokkan.

“Kehadiran saya diharap dapat membantu menaikkan jenama ini dan memberikan impak lebih besar. Saya sekadar muncul dalam dua telefilem saja, tetapi ia sangat menyeronokkan.

“Sebenarnya saya tidak sangka watak Zizang diterima baik penonton dan disambung dalam OMG2.

“Dalam masa sama, saya terharu sebab menjadi sebahagian penutup kisah siri OME,” katanya.

Sinopsis:

Selepas waktu sekolah, pelajar kelas 5 Merah berkumpul bagi menubuhkan jawatankuasa majlis perkahwinan Cikgu Ayu dan Mr Middleton. Masing-masing memberikan idea bernas bagi memastikan majlis itu berjalan lancar dan menjadi acara terbaik tahun ini.

Mereka mengusik Cikgu Ayu dan Mr Middleton dengan mengatakan kedua-duanya berdarah manis dan perlu berwaspada sepanjang masa. Cikgu Ayu ketawa mendengar usikan itu dan menjawab tiada siapa boleh melarang mereka berkahwin dan kata-kata itu buat Mr Middleton tersenyum riang.

Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan satu dentuman kuat dan panik apabila Cikgu Ayu sudah tidak bergerak.

Sementara itu, di Terengganu, Zizang sedang meneliti laman Facebook dan Instagram rasmi Kelas 5 Merah. Zizang berazam menyunting Cikgu Ayu sebagai suri hidupnya dan tidak gentar berdepan apa saja cabaran.

Di hospital, doktor memberitahu Mr Middleton dan pelajar Kelas 5 Merah bahawa Cikgu Ayu sudah stabil, tetapi menjadi pelupa. Biarpun kecederaan kepalanya tidak serius, Cikgu Ayu berdepan risiko hilang daya ingatan.

Mr Middleton tidak dapat menerima hakikat itu dan yakin Cikgu Ayu pasti ingat janji mereka. Cikgu Ayu pula tidak kenal Mr Middleton yang mengaku sebagai tunangnya. Zizang pula cuba mengambil kesempatan dengan melaksanakan misinya merampas Cikgu Ayu daripada Mr Middleton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 8:35 AM