KESERONOKAN bermain air yang tidak tergambar dengan kata-kata di Taman Tema Air Mini Kubang Gajah.
KESERONOKAN bermain air yang tidak tergambar dengan kata-kata di Taman Tema Air Mini Kubang Gajah.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani


Berbekalkan daya tarikan menarik dan mesra kanak-kanak, Taman Tema Air Mini Kubang Gajah, Temerloh kini menjadi destinasi pilihan golongan berkeluarga terutama yang mempunyai anak kecil untuk mandi-manda dan bersantai.

Walaupun baru beroperasi setahun lalu, taman tema bersebelahan Stadium Mini Temerloh itu kini makin menjadi tumpuan ramai terutama penduduk setempat dan kawasan sekitarnya yang menginginkan percutian bajet.

Kelangsungan itu menjadikan taman tema mini berkenaan pilihan ibu bapa meluangkan masa pada hujung minggu dengan membawa si kecil bermain air sehingga puas.

Dengan bayaran RM10 untuk dewasa, kanak-kanak (RM8), pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan warga emas 60 tahun ke atas (RM5), pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis permainan air di taman tema mini itu.

Pengurusnya Dahliayanti Ahmad berkata, walaupun fokus mereka lebih kepada kanak-kanak, pengunjung dewasa masih boleh menikmati keseronokan mengikut pilihan masing-masing.

“Kami bina lima kolam berasingan dengan kedalaman berbeza berbentuk aliran sungai, kolam dewasa, kolam paddle boat, kolam gelongsor dan kolam kanak-kanak.

“Bagi menceriakan suasana, 20 ‘paddle boat’ kayuhan tangan disediakan di kolam berkenaan, tetapi pengunjung tidak dibenarkan membawa permainan itu ke kolam lain bagi mengelak ditinggalkan begitu saja,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, di bahagian tengah kolam pula disediakan sebuah ‘rumah hujan’ dengan gelongsor air tertutup dan terbuka di setiap penjuru dan buaian yang sentiasa menerima simbahan air bagi menambahkan keseronokan.

Bersebelahannya pula, dibina sebuah bangunan berbentuk bulat yang turut menjadi tumpuan kanak-kanak kerana ada dua ‘pasu’ bersaiz besar sentiasa dalam keadaan bersedia ‘memuntahkan’ isian selang beberapa minit.

Serentak itu juga jelas kedengaran jeritan suara kanak-kanak sebaik curahan air mengena mereka.

Terletak agak terpinggir dari kolam lain, kolam ‘cilik’ dengan sebuah binaan ala Disneyland yang menyediakan permainan jongkang-jongkit plastik bergerak memberi peluang si kecil seawal usia enam bulan berendam dan bermain dalam keadaan selamat.

Tetapi yang pasti, ibu bapa jangan sesekali tinggalkan si kecil bermain sendirian walaupun kedalamannya lebih sedikit daripada buku lali orang dewasa.

Dahliayanti berkata, taman tema air mini juga menyediakan deretan tujuh papan gelongsor air di kolam dewasa yang sudah pasti menjanjikan kepuasan kepada pengunjung terutama yang kali pertama ke situ.

“Walaupun panjangnya tidak sampai 10 meter, ia sudah cukup memberi kepuasan terutama kanak-kanak yang pastinya sukar dipujuk untuk pulang kerana teruja bermain di tempat baru,” katanya.

Menurutnya, pengunjung juga boleh menyewa pelampung pada kadar RM13 untuk dua tempat duduk, pelampung individu (RM10) saiz sederhana (RM6) dan kanak-kanak (RM4) termasuk deposit.

Kemudahan lain adalah bilik persalinan, bangku tepi kolam, kerusi dan meja berpayung, kotak simpanan keselamatan, tandas, bilik mandi dan surau.

“Semua disediakan untuk kemudahan pengunjung, malah lebih istimewa kami menyediakan 15 bilik persalinan dengan paip air di tepi kolam untuk memudahkan mereka menukar pakaian tanpa perlu ke bilik mandi.

“Keselesaan pengunjung keutamaan kami menyebabkan kami mengambil inisiatif membina bilik persalinan di sekeliling kolam untuk memudahkan mereka menukar pakaian,” katanya.

Penat berendam, pengunjung boleh berehat sambil menjamu selera di gerai ais krim dan ‘ice-blended’ mahupun kafe yang turut menyediakan makanan siap bungkus seperti nasi lemak, nasi goreng, mi goreng bersama minuman panas dan sejuk.

“Sesuatu yang menarik, pengunjung dibenarkan membawa makanan dan minuman dari luar kerana kami lebih menumpukan kepada keseronokan berkelah bersama keluarga tanpa mengeluarkan wang berlebihan melainkan mereka ingin berbuat demikian.

“Pengunjung juga dibenar membawa pelampung sendiri dan pasti mereka gembira dapat berbuat demikian kerana tidak perlu menyewa lagi,” katanya.

Menurutnya, pengurusan taman tema juga me–ngambil inisiatif memasang ‘helaian’ jaring sebagai pelindung bagi mengelak cuaca panas terutama pada waktu tengah hari.

“Pengunjung tidaklah terasa perit bahang matahari kerana anak-anak pastinya enggan keluar kolam kerana banyak ‘benda’ yang boleh mereka main,” katanya.

Taman tema air mini dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga jam 8 malam ketika cuti umum dan cuti sekolah manakala hari biasa dari jam 2 petang hingga jam 8 malam dan tutup setiap Rabu.

“Walaupun keluasannya tidak sebesar mana, untuk kanak-kanak bersuka ria dan bermandi-manda, ia memang berbaloi dikunjungi.

“Kedudukannya bersebelahan Taman Awam Kubang Gajah juga memberi kelebihan apabila ramai mengambil peluang bergambar di pintu masuk yang mempunyai binaan berbentuk Taj Mahal di Agra, India,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 5:17 AM