FORD GT bakal menggunakan cermin Gorilla Glass.
FORD GT bakal menggunakan cermin Gorilla Glass.
Oleh Erywan Norshal


Kereta ‘supercar’ Ford GT bakal menjadi kenderaan pertama menggunakan cermin utama Corning Gorilla Glass de­ngan ciri lebih tahan lasak dan calar.

Ia lebih ringan sehingga 32 peratus berbanding kaca tradisional dan bakal digunakan sebagai cermin utama dan penutup enjin belakang Ford GT.

Dibangunkan oleh Ford dan Corning, kaca hibrid Gorilla Glass menyumbang kepada aspek pengendalian, menambah baik penjimatan bahan api serta mengurangkan risiko kaca daripada pecah.

Corning sebelum ini bertanggungjawab memperkenalkan Gorilla Glass yang ringan dan tahan lasak ke pasaran elektronik menerusi telefon bimbit pada 2007.

Malah, kaca hibrid itu dianggarkan 25 hingga 50 peratus lebih nipis dan mempunyai kekuatan yang sama seperti cermin lapisan tradisional.

Ia menggunakan pendekatan multi lapisan panel tetingkap gred automotif dengan diperkukuhkan satu lapisan dalaman yang kuat.

Satu lapisan termoplastik termaju yang menyerap bu­nyi diletakkan di tengah-tengahnya, manakala kaca sepuh lindap bertindak sebagai lapisan bahagian luar.

Ketebalan kaca lapisan tradisional bermula daripada empat hingga enam millimeter (mm), manakala tiga sehingga empat mm bagi Gorilla Glass.

Naib Presiden Pembelian Global Kumpulan Ford, Hau Thai-Tang berkata, kaca hibrid itu adalah satu contoh terbaik bagaimana Ford bekerjasama dengan pembekal untuk menghasilkan inovasi semua bidang perniagaannya.

“Ford GT sudah menetapkan satu standard baharu dari segi inovasi menerusi prestasi dan pengurangan berat.

“Kami sangat teruja untuk meneroka aplikasi lain dalam teknologi hebat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:01 AM