SEORANG penunjuk perasaan terjatuh selepas bertempur dengan polis di luar bangunan Majlis Perundangan Hong Kong, semalam.
SEORANG penunjuk perasaan terjatuh selepas bertempur dengan polis di luar bangunan Majlis Perundangan Hong Kong, semalam.

Hong Kong: Polis semalam bertempur dengan penunjuk perasaan prodemokrasi selepas sekumpulan kecil mereka cuba memecah masuk Dewan Perundangan bandar raya itu.

Pertempuran berlaku apabila sekurang-kurang dua belas penunjuk perasaan bertopeng merempuh pintu masuk tepi bangunan itu pada awal pagi, menggunakan penghadang besi.

Sekurang-kurangnya 100 anggota polis dikerah untuk menyuraikan barisan depan ratusan penunjuk perasaan berkenaan yang memakai topi keledar dan melambai payung, simbol pergerakan mereka.

Polis terpaksa menggunakan penyembur lada dan belantan apabila keadaan menjadi semakin tegang.

Menurut polis, tiga anggotanya cedera dalam kejadian itu sementara enam penunjuk perasaan ditangkap.

Kumpulan prodemokrasi itu berkhemah di tiga jalan raya utama di Hong Kong sejak lebih tujuh minggu lalu, menuntut pilihan raya bebas diadakan bagi memilih ketua pendadbir baru.

Bagaimanapun, sokongan terhadap kumpulan itu semakin berkurangan sejak beberapa minggu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:23 AM