Kita tidak boleh berharap untuk orang lain membuatkan kita gembira sepenuhnya begitu juga kita tidak boleh memberi kebahagiaan penuh kepada orang lain.

Namun, kita sebenarnya berupaya membahagiakan diri apabila menjadi rakan karib diri sendiri. Sebelum kita berharap untuk rakan dan orang lain memahami diri kita, sebenarnya kita perlulah mengenali dan faham segalanya tentang diri kita sendiri.

Dengan menjadi rakan baik kepada diri sendiri barulah kita mengenali dan memahami diri sendiri kemudian barulah kita sedar apa yang sesuai atau tidak untuk kita dalam hubungan sosial, pekerjaan dan apa juga aspek dalam hidup. Tidak sukar sebenarnya untuk kita menjadi rakan karib kepada diri sendiri.

Peruntukan masa

Ambil masa bersendiri dan fikir mengenai diri sendiri. Tanya apa yang kita suka dan tidak suka. Kenal pasti apa kelemahan dan kekuatan diri kita dengan bertanya kepada diri sendiri dan mungkin ahli keluarga rapat seperti ibu, ayah, adik-beradik atau sepupu yang rapat dengan kita. Fikirkan juga apa yang boleh memberikan kita motivasi dan inspirasi dalam kehidupan ini. Kita selalu menilai perkara ini kepada orang lain, namun jarang memikirkannya untuk diri sendiri. Apabila kita mula memikirkan perkara ini, sedikit demi sedikit kita akan memahami diri sendiri.

Catatkan semua ini ke dalam satu jurnal atau telefon bimbit kita dan kemas kini untuk mengingatkan kita. Ia akan membuat kita lebih mengenali dan menghargai diri sendiri.

Beri kata penghargaan kepada diri

Seorang kawan baik akan memberi kata penghargaan dan pujian kepada rakannya begitu juga kita perlu memberi kata semangat kepada diri sendiri. Jangan malu memuji kelebihan dan pencapaian dengan menyebutnya kepada diri bila bersendirian.

Katakan setiap hari sebelum memulakan hari dan sebelum mengakhirinya. Pastikan kita tidak kedengaran angkuh, cuma kata-kata menghargai dan motivasi diri.

Hobi sendiri

Cari atau buat sesuatu yang berfaedah untuk kita lakukan sendiri. Selain mengajar kita untuk menjadi berdikari mengisi masa jika tiada rakan, ia juga memberi kebaikan. Tidak kiralah sama ada ia bersenam, mengambil gambar pemandangan, mengait mahupun menari, ia akan membolehkan kita meneroka kebolehan diri dan menghargai diri sendiri sebagai seorang anak muda yang mempunyai kehidupan sihat.

Beri ganjaran

Kita tidak haruslah berkira kepada diri sendiri. Jika kita rasakan kita melakukan sesuatu yang baik atau membuat sesuatu pencapaian, beri ganjaran kepada diri sendiri. Tidak semestinya ganjaran mahal atau besar apatah lagi kita masih bergelar belia dengan pendapatan terhad. Mungkin ganjaran seperti sehelai baju baru, coklat atau minuman kegemaran malah urutan yang melegakan di spa. Ia akan membuatkan kita tahu rasa dihargai oleh diri sendiri.

Terima diri sendiri

Jangan terlalu salahkan diri sendiri dan terima kelemahan yang ada. Fokus kepada kelebihan kita dari segi fizikal dan keperibadian. Jangan menghukum diri sendiri jika kita pernah melakukan kesilapan kerana ia akan menyebabkan fikiran bercelaru. Tindakan ini membuka pintu hati dan minda kita untuk menghargai diri sendiri dan kehidupan yang sememangnya tidak sempurna secara amnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 8:10 AM