Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Rexy Mainaky (gambar kecil) mempersoalkan impak dibawa Mortten Frost Hansen selaku Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila pemain perseorangan dan beregu negara terus mengalami kemerosotan prestasi.

Menurut bekas jurulatih beregu negara dari Indonesia itu, tiada perubahan ketara yang dapat dilihat sejak Frost hadir di Malaysia pada Mac lalu.

“Saya belum lihat ada perubahan ketara dalam corak permainan pemain Malaysia. Apa perancangan Frost juga masih belum jelas. Ini kerana, saya lihat ada beberapa pemain yang dulunya bermain untuk acara perseorangan tapi sekarang menjadi pemain beregu pula,” kata Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) itu.

Jelasnya, prestasi pemain perseorangan lelaki Chong Wei Feng dan Liew Daren juga masih tidak konsisten ketika Malaysia sememangnya memerlukan pemain selepas Datuk Lee Chong Wei untuk memberikan saingan di peringkat tertinggi.

“Saya terkejut apabila melihat pemain perseorangan lelaki, Tan Kian Meng yang mempunyai fizikal serta kualiti yang baik untuk acara itu, kini beraksi dalam beregu pula. Frost baru hampir setahun bersama BAM, mungkin perlukan masa. Kita tidak tahu berapa lama diperlukannya tapi saya sedar rakyat Malaysia mempunyai harapan besar untuk melihat pemain negara ini berjaya,” katanya.

Apa dialami Frost berbeza dengan Rexy yang mempunyai peranan hampir sama di PBSI sejak pertengahan 2013 apabila beliau tidak menunggu lama untuk menghasilkan keputusan positif.

Di bawah pimpinannya Indonesia meraih pingat emas menerusi Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dan Greysia Polii-Nitya Krishinda Maheswari dalam acara beregu lelaki dan wanita pada Sukan Asia Incheon 2014.

Ahsan-Hendra turut merangkul gelaran juara pada Kejohanan Dunia 2013 dan 2015.

Rexy pernah bersama BAM selama tujuh tahun setengah sehingga 2012 dan di bawah kendaliannya bekas beregu nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memenangi pingat emas Sukan Asia 2006 Doha dan beberapa kejuaraan antarabangsa termasuk Seluruh England 2007.

Mengulas lanjut, Rexy, berkata Frost mungkin memerlukan sedikit lagi masa bagi mengubah situasi badminton negara yang kini dalam keadaan kritikal.

Minggu lalu, Rexy berkata beliau sedia kembali ke BAM pada masa depan jika badan induk negara itu masih berminat dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:55 AM