Tokyo: Seorang wanita berusia 67 tahun ditangkap semalam kerana disyaki membunuh suaminya dengan racun selepas enam lelaki yang ada hubungan cinta dengannya diketahui mati kerana sebab mencurigakan.

Kejadian itu disifatkan satu lagi kes ‘black widow’ (isteri yang membunuh suami mereka) di Jepun.

Agensi berita Jiji Press melaporkan, Chisako Kakehi (gambar) mewarisi 800 juta yen (RM23 juta) sepanjang 20 tahun lalu dalam bentuk insurans dan harta lain selepas tujuh lelaki yang ada hubungan dengannya mati.

Suami keempatnya, Isao Kakehi, sakit tiba-tiba di rumah dan disahkan mati di sebuah hospital Disember lalu, kurang dua bulan selepas mereka berkahwin.

Bedah siasat mendapati darahnya mengandungi paras sianida yang tinggi.

Ia berlaku selepas teman lelakinya berusia 75 tahun mati pada September akibat jatuh tiba-tiba selepas mereka makan bersama di sebuah restoran.

Kaitan Chisako dengan kematian pasangannya bermula pada 1994 apabila suami pertamanya meninggal dunia pada usia 54 tahun.

Pada 2006, suami keduanya mati akibat serangan jantung tiba-tiba pada usia 69 tahun sementara perkahwinan ketiga berakhir pada 2008 dengan kematian suami ketiganya pada usia 75 tahun.

Seorang teman lelakinya, dipercayai menghidap barah, mati setahun kemudian.

Pada 2012 pula, tunangnya mati tiba-tiba ketika menunggang motosikal.

Kesan sianida dikesan dalam tubuhnya, lapor media.

Ketika ditahan semalam, Chisako, bekas kakitangan sebuah bank menafikan menjadi punca kematian suaminya.

Seorang penyiasat memberitahu wartawan, polis mengesyaki dia membunuh kerana wang tetapi enggan menjelaskan jumlah yang terbabit.

Pada 2012, seorang wanita berusia 30-an dihukum mati dalam satu lagi kes ‘black widow,’ gelaran yang merujuk kepada labah-labah betina yang membunuh pasangannya selepas mengawan.

Kanae Kijima diidapati bersalah membunuh tiga lelaki berusia 41, 53 dan 80, yang dikenalinya menerusi Internet. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:07 AM