GEJALA kesakitan mengganggu rutin harian.
GEJALA kesakitan mengganggu rutin harian.
Oleh Zaitie Satibi


Kesakitan yang kronik, tekanan dan ketidakselesaan setempat yang dialami lelaki pada bahagian pelvis atau perineum iaitu dari dubur hingga skrotum atau kawasan kemaluan yang berterusan lebih daripada tiga bulan tanpa sebab adalah sindrom sakit pelvik kronik (CPPS).

Penyakit ini juga dipanggil radang kelenjar prostat atau prostatitis kronik yang bukan disebabkan jangkitan bakteria. Gangguan pelvis ini adalah penyakit yang kerap dialami lelaki dan dihidapi pada semua peringkat umur, tetapi ia biasa dihidapi dalam kalangan mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Kira-kira 90 hingga 95 peratus kes radang kelenjar prostat membabitkan CPPS. Oleh itu, adalah penting untuk golongan lelaki mengenal pasti tanda-tanda dan simptom CPPS supaya penyakit dapat dikesan awal dan mereka boleh mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Pakar Urologi Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Dr Datesh Daneshwar berkata, prostatitis kronik adalah penyakit berkaitan urologi yang paling kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki berusia lebih 50 tahun dan ketiga paling kerap kalangan lelaki berusia bawah 50 tahun.

“Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) mengelaskan prostatitis kepada empat kategori iaitu Jenis I (prostatitis bakteria akut), Jenis II (prostatitis bakteria kronik), Jenis III (prostatitis bukan bakteria kronik) dan Jenis IV (radang prostatitis tiada simptom).

“Purata pakar urologi menerima kunjungan kira-kira 10 pesakit dengan prostatitis sebulan dan 30 peratus daripadanya adalah pesakit baru dan majoriti pesakit dalam kategori menghidap CPPS,” katanya ketika menyampaikan taklimat sempena kempen kesedaran kesihatan lelaki, Movember, anjuran PCMC di ibu negara, baru-baru ini.

Menurutnya, CPPS adalah kesakitan atau rasa tidak selesa yang berterusan pada bahagian bawah pelvik iaitu pangkal zakar dan sekitar dubur. Ia biasanya didiagnos selepas pesakit mengadu sakit sekurang-kurangnya tiga bulan.

Punca penyakit ini juga masih tidak diketahui tetapi banyak teori mendakwa ia disebabkan beberapa punca seperti jangkitan daripada bakteria yang belum dikenal pasti, masalah saraf yang menjejaskan prostat, masalah autoimun kelenjar prostat apabila antibodi menyerang sel dan keradangan akibat air kencing dipaksa masuk balik ke prostat ketika membuang air kecil.

“Pesakit akan berasa kesakitan pada bahagian abdomen iaitu di bahagian bawah perut termasuk sekitar pangkal zakar dan sekitar dubur serta bahagian bawah belakang. Kadangkala kesakitan melarat hingga ke zakar dan tahap kesakitan berbeza-beza dari hari ke hari.

“CPPS juga menjejaskan saluran kencing dan simptomnya dapat dilihat apabila pesakit turut merasai kesakitan ketika kencing, keinginan yang mendesak untuk membuang air kecil, kerap kencing, teragak-agak untuk kencing dan aliran air kencing yang lemah.

“Selain itu, CPPS juga mendatangkan masalah seksual apabila pesakit sukar untuk mencapai ereksi, kesakitan ketika ejakulasi, ejakulasi tidak matang dan rasa sakit pada abdomen selepas melakukan hubungan kelamin,” katanya.

Antara faktor risiko bagi CPPS adalah tekanan perasaan berlebihan dalam tempoh lama, terlalu risau, duduk dalam postur tubuh yang salah dalam jangka panjang, gaya hidup sedentari, menunggang basikal terlalu lama, kecederaan pelvik, mengangkat beban berlebihan, pernah menjalani pembedahan atau mendapat jangkitan pada pelvik dan faktor psikologi.

Dr Datesh berkata, bagaimanapun simptom prostatitis kronik boleh menyerupai dengan gejala penyakit lain dan pemeriksaan lanjut perlu dijalankan terhadap pesakit bagi mengenal pasti punca kesakitan seperti melakukan pemeriksaan pada kelenjar prostat dan sampel air kencing juga diambil bagi mengesan kehadiran jangkitan.

“Ujian turut dijalankan terhadap buah pinggang dan saluran air kencing kerana berkemungkinan disyaki pesakit menghidap prostatitis kronik berpunca daripada bakteria. Jika ini yang berlaku, pesakit perlu menjalani ujian lanjut pada saluran air kencingnya yang mungkin menyumbang kepada jangkitan.

“Pesakit juga disarankan menjalani ujian penyakit jangkitan seks (STI) walaupun prostatitis kronik bukan dalam kumpulan penyakit terbabit kerana kedua-dua penyakit ini menunjukkan gejala yang sama. Kadang-kadang ujian darah juga dilakukan untuk mengesan masalah lain berkaitan kelenjar prostat.

“Semua pemeriksaan dilakukan bagi menolak keluar punca lain yang menyebabkan kesakitan pada bahagian pelvik kerana jika pesakit menghidap CPPS ujian akan menunjukkan tiada bakteria ditemui pada cecair prostat atau air kencing,” katanya.

Beliau berkata, rawatan prostatitis kronik dengan CPPS berbeza bagi setiap pesakit berikutan masing-masing mengalami tahap kesakitan yang berlainan dan mereka biasanya diberi ubatan antibiotik, alpha-blockers dan antiradang serta teknik untuk pengurusan tekanan dan urutan bagi melegakan kesakitan.

“Kebanyakan pesakit prostatitis kronik dengan CPPS menunjukkan tahap pemulihan dalam tempoh enam bulan berikutnya. Malah, ada kajian mendapati pesakit CPPS tidak mempunyai simptom lanjutan selepas setahun hingga dua tahun kemudian.

“Apapun, CPPS bukan penyakit yang mengancam nyawa tetapi ia menjejaskan kualiti kehidupan pesakit dengan pelbagai ketidakselesaan dan kesakitan pada pelvik, kepuasan seksual dan ketika membuang air kecil jika dibiarkan tanpa rawatan.

“Penyakit ini juga seringkali disalah diagnosis sebagai bengkak kelenjar prostat kerana menunjukkan gejala penyakit yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:00 AM