PENUNJUK perasaan laungkan slogan membantah pembebasan perogol juvana itu di New Delhi, semalam.
PENUNJUK perasaan laungkan slogan membantah pembebasan perogol juvana itu di New Delhi, semalam.
Agensi

New Delhi: Seorang pesalah paling muda kes rogol berkumpulan dan bunuh seorang pelajar wanita pada 2012 mahu terus berada di penjara kerana terlalu takut dibelasah orang ramai yang berang selepas dia dibebaskan semalam.

Ribuan penduduk berkumpul di jalan raya di bandar ini selepas perogol itu yang kini berusia 20 tahun dilapor bebas dari penjara.

Lelaki itu dibebaskan tiga hari selepas ulang tahun ketiga kes yang menggemparkan India itu apabila seorang pelajar wanita berusia 23 tahun dirogol enam lelaki sebelum dibunuh dalam sebuah bas di New Delhi.

Empat lagi perogol yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kini menanti keputusan rayuan mereka.

Seorang lagi tertuduh iaitu pemandu bas berkenaan dilaporkan meninggal dunia dalam penjara.

“Dia (perogol) bimbang dengan keselamatannya di luar penjara.

“Dia yakin orang ramai tidak akan membiarkan dia hidup,” kata seorang pegawai di sebuah pusat pemulihan di sini, lokasi lelaki itu ditahan selama tiga tahun.

Katanya, perogol itu mengikuti kes berkenaan di televisyen dan apabila melihat reaksi orang ramai susulan pembebasannya, dia menjadi sangat takut.

Beberapa laporan mengatakan lelaki itu dipindahkan secara rahsia dari pusat pemulihan ke sebuah rumah perlindungan di bawah naungan kumpulan hak asasi kanak-kanak.

Identiti perogol itu tidak didedahkan kerana dia masih di bawah umur ketika melakukan jenayah berkenaan.

Mahkamah Agung India semalam menolak rayuan supaya perogol itu terus ditahan, Keputusan itu mencetuskan kemarahan keluarga mangsa yang menyifatkan keputusan berkenaan satu pengkhianatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 10:43 AM