KAWASAN pekan Beaufort yang mula dinaiki air malam tadi. FOTO ihsan JPAM
KAWASAN pekan Beaufort yang mula dinaiki air malam tadi. FOTO ihsan JPAM
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid

Beaufort: Sembilan lokasi di daerah ini dijangka dilanda banjir apabila paras air Sungai Padas melepasi paras bahaya pada 3 pagi ini.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah Kolonel Mulliadi Al Hamdi Ladin berkata, hujan di Tenom menyebabkan air Sungai Padas meningkat dan menghampiri kawasan rendah di Beaufort.

"Lokasi akan terjejas adalah Kampung Bakuku, Lalangut, Pintas, Limbawang, Melati, Suasa, Lingkuhulu, pekan Beaufort dan sekitar tebing Sungai Padas.

"JPAM sentiasa memantau lokasi dijangka mengalami banjir di sekitar daerah ini akibat limpahan air dari Tenom selain memastikan tindakan segera dapat diambil," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Mulliadi berkata, ketika ini keadaan di Tenom masih hujan dan JPAM akan terus melakukan pemantauan dan menasihati penduduk di kedua-dua daerah supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah sehingga 7 malam tadi, paras air Sungai Padas di Beaufort dan Tenom sudah melepasi paras amaran.

Sungai Padas di Beaufort mencatatkan paras 8.34 meter manakala sungai sama di Tenom 175.96 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 11:11 PM