Oleh Safuri Kamarudin


Baling: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menangkap ular tedung selar sepanjang lima meter dan seberat 15 kilogram di sebuah rumah penduduk di Kampung Padang Setol, Tawar, petang semalam.

Pegawai JPAM Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, JPAM menerima panggilan daripada penduduk terbabit bergegas ke kampung itu dengan lima anggota dan berjaya menangkap ular itu.

Menurutnya, ular itu ditemui di bawah tempat duduk berehat di luar rumah kira-kira jam 6 petang.

"Kehadiran ular itu disedari seorang suri rumah dikenali Rashidah, 40-an, ketika dia keluar dari rumahnya dan ternampak ular tedung selar di bawah tempat duduk mereka berehat.

"Ular yang ditangkap itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 2:12 PM