Kuala Lumpur: Kejayaan muncul juara Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Kuala Lumpur Redtone baru-baru ini meniup semangat Daniel Nurhaqiem Shahrul Izham untuk mengorak langkah lebih jauh dalam sukan skuasy.

Menewaskan pilihan utama Mohd Hafiz Zhafri Abdul Harif dalam pertarungan lima set bagi kategori bawah 15 membuktikan semangat juangnya cukup tinggi dalam usahanya untuk memburu lebih banyak gelaran juara selepas ini.

Bakal berlepas ke Manchester Isnin ini untuk menyertai Kejohanan Remaja Terbuka British (BJO) yang bermula dari 2 hingga 6 Januari, pemain kelahiran Terengganu ini mengharapkan sentuhan ajaib bagi membolehkannya melakarkan keputusan terbaik menerusi penyertaan sulung di kejohanan itu.

Biarpun terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri selain bantuan kewangan Majlis Sukan Terengganu, bagi Haqiem pengorbanan itu yang perlu dilakukan demi merealisasikan impian menjadi pemain skuasy terkemuka dunia.

“Saya sudah bersedia untuk beraksi di BJO. Sasaran saya adalah untuk mara hingga ke separuh akhir kerana saingan sengit daripada pemain Mesir dan England.

“Apapun saya akan berusaha memberi yang terbaik dan menimba pengalaman daripada pertandingan seperti ini,” katanya.

Ditanya strategi apa yang bakal digunakan apabila turun menentang pemain handalan di BJO itu nanti, Haqiem berkata dia akan melihat bagaimana corak permainan lawan terlebih dulu sebelum memilih untuk bermain mengikut rentak menyerang atau rali.

Haqiem yang meminati corak permainan Mazen He
am dari Mesir dan menghuni ranking ke-13 dunia, berkata dia terlebih dulu akan turun beraksi di kejohanan pemanas badan Terbuka Protenfract bermula dari 27 hingga 30 Disember ini sebagai persediaan sebelum BJO bermula dan menyertai Kejohanan Remaja Scotland selepas itu sebelum kembali semula ke tahan air.

Mendapat bimbingan jurulatih Raymond Arnold, Haqiem berharap dapat beraksi dengan baik bagi membolehkan dia di serapkan ke dalam program pelapis Majlis Sukan Negara (MSN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:43 AM