Muhamad Zaki (kiri) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum dan air ketum yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad
Muhamad Zaki (kiri) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum dan air ketum yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: Lelaki yang dipercayai dalang penjualan air ketum di daerah ini, ditahan polis di rumahnya di Ampangan, di sini, kira-kira 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, ketika serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, lelaki berusia 23 tahun itu sedang leka memproses daun ketum.

Katanya, lima kilogram daun ketum, daun ketum yang direbus dan 29 bungkusan air ketum dirampas.

"Hasil siasatan mendapati, air ketum itu dijual pada harga RM5 kepada pelanggan yang kebanyakannya warga asing. Pembeli akan datang ke rumah suspek untuk urusan pembelian itu.

"Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 33 Akta Racun Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di IPD Seremban, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:27 PM