TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkenalkan SAC Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid (kanan) yang dilantik menjadi Komander ESSCOM menggantikan DCP Datuk Abdul Rashid Harun (dua kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Projek Pembangunan Serta Perolehan Bagi Kegunaan ESSCOM di Kawasan ESSZONE Sabah. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Kerajaan sudah mula menambah aset antaranya radar yang lebih luas liputannya, helikopter penyerang dan pesawat tanpa pemandu bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama, kerajaan juga meningkatkan komitmen anggota keselamatan bagi menghalang aktiviti pencerobohan di kawasan itu.

Menurutnya, kawasan perairan ESSCom meliputi 1,700 kilometer (km) menerima ancaman pencerobohan harus diambil kira sebagai ancaman yang berjalan 360 hari setahun.

"Justeru, kesiapsiagaan itu bukan sahaja dalam aspek kehadiran anggota keselamatan malah, aset dan peralatan untuk mempertahankan negara khususnya Sabah dan perairan sekitar.

"Kesiapsiagaan tidak boleh hanya retorik dan komitmen atas kertas tetapi, perlu sebenar-benar dilaksanakan bagi pemantauan berterusan di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi mengenai projek pembangunan serta perolehan bagi kegunaan ESSCom di kawasan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone), Sabah.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 12:47 PM