Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Mantan Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM)
Keputusan untuk memulakan keluarga atau menimang cahaya mata adalah sesuatu yang penting. Walaupun ada banyak cabaran yang menunggu anda, ganjarannya sangat memuaskan.
Sebagai lelaki, anda perlu mengambil berat dan mempelajari mengenai keadaan isteri yang hamil. Duduk dan berbincanglah bersama isteri mengenai apa yang bakal anda hadapi bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari disebabkan perselisihan faham.
Peranan suami dan isteri perlu dibincang dan dipersetujui lebih awal. Ketahuilah langkah ini sangat penting. Ingatlah bahawa tiada perkara yang tidak penting kerana kehidupan hari ke hari anda akan banyak berubah.
Masalah peringkat permulaan
Tubuh pasangan anda akan melalui beberapa perubahan semasa kehamilan. Perubahan paling ketara ialah perutnya yang membesar dan peningkatan berat badan. Namun, terdapat banyak perubahan lain yang berlaku tanpa disedari dan apabila dilihat keseluruhannya terdapat kesan yang tidak dijangka atau mengejutkan, seperti payu dara yang lebih besar, rambut berkilat, kuku tumbuh dengan lebih cepat, ‘seri kehamilan’ atau jerawat keluar secara tiba-tiba, kesan regang di kulit atau kaki bengkak.
Perubahan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh hormon korionik gonadotropin manusia (HCG) atau lebih dikenali sebagai hormon kehamilan. Jika anda pernah menggunakan kit ujian kehamilan, hormon inilah yang dicari di dalam ujian itu.
Selain HCG, terdapat hormon lain yang juga akan memberi kesan padanya, contohnya hormon peluteinan (LH) dan hormon perangsang folikel (FSH). Perubahan hormon inilah yang menjadi penyebab kepada perubahan emosi isteri anda semasa hamil.
Gabungan hormon yang kuat ini bermakna isteri anda mungkin mengalami perubahan emosi yang turun naik, maka bersabarlah dengan segala tingkah lakunya sepanjang kehamilan. Dia mungkin mengalami masa di mana dia berasa amat letih, mabuk hamil atau fikiran yang keliru.
Dia juga mungkin murung dan menunjukkan emosi yang tidak rasional iaitu dari perasaan sangat gembira hingga menangis secara tiba-tiba. Anda perlu berikan sedikit ruang kepadanya dalam tempoh yang mencabar dan meletihkan ini. Perhatikan jika terjadi kemurungan kerana satu dalam setiap 10 wanita hamil mengalami kemurungan. Berbincanglah dengan doktor jika ada sebarang kebimbangan.
Tepuk sebelah tangan tidak berbunyi
Agihkan beban kerja - bakal bapa harus memainkan peranan lebih aktif semasa kehamilan isteri seperti menemaninya berjumpa doktor, membeli barangan bayi, menyediakan rumah yang mesra bayi dan sebagainya.
Lebihkan usaha anda membantu di rumah kerana kehamilannya akan membataskan apa yang dia boleh lakukan. Beri lebih sokongan kepada isteri - jika anda merokok, inilah masa yang sesuai untuk berhenti. Ambil hidangan yang menyihatkan dan bersenam bersama sepanjang tempoh kehamilan ini.
Bagi ibu hamil, ketahui batasan anda. Kehamilan tidak menjadikan anda seorang yang uzur, tetapi anda harus juga mula menugaskan kerja rumah kepada suami.
Selain itu, beri lebih tumpuan pada kesihatan anda. Sekarang anda juga fikir mengenai kesihatan bayi yang belum lahir. Ini bermakna anda tidak boleh merokok, minum alkohol atau melakukan sebarang aktiviti fizikal yang boleh menjejaskan kehamilan.
Tahukah anda?
Kata-kata ‘makan untuk dua orang’ kerap disalah tafsir. Memang benar anda perlu meningkatkan pengambilan vitamin, mineral, serat, kalsium, protein, zat besi dan lainnya. Namun, anda tidak semestinya makan dua kali ganda sukatan yang biasa diambil. Pemakanan anda semasa hamil adalah penting, oleh itu dapatkan nasihat pakar - berbincang dengan doktor atau pakar pemakanan untuk memahami mengenai apa dan banyak mana yang anda perlu makan.
Jangan abaikan emosi anda
Sebagai bakal ibu bapa, persediaan diri dari segi emosi untuk menerima seorang bayi amat penting. Anda mempunyai sembilan bulan dari masa mendapat tahu mengenai kehamilan untuk menerima hakikat bahawa keluarga anda akan berkembang dan membuat persediaan. Pelajari seberapa banyak yang boleh dan jangan lupa untuk bekerjasama antara satu sama lain.
Kuncinya ialah komunikasi, maka ambillah masa untuk duduk dan berbincang bersama mengenai harapan, kebimbangan dan keresahan. Ini juga adalah masa untuk meneliti semula kerja rumah dan tanggungjawab. Buat perancangan awal untuk mengelakkan ketidaktentuan apabila tiba masanya untuk melahirkan bayi. Ini termasuk tempat dan cara anda melahirkan bayi (kelahiran biasa, pembedahan Caesarean atau lainnya).
Ambil sedikit masa untuk berehat
Semua orang memerlukan sedikit masa untuk bersendirian. Oleh itu luangkan masa untuk melakukan perkara yang anda gemari.
Sekali-sekala, mengambil masa berehat adalah cara yang baik untuk mengatasi stres dan memastikan anda tidak terlalu letih. Dengan cara ini, tubuh dan minda dapat berehat daripada rutin kehidupan harian yang sama dan membosankan. Ia juga dapat menyegarkan anda semula untuk hari akan datang.
Bagaimanapun, aturkan juga masa untuk keluar bersama pasangan. Kekalkan hubungan yang rapat dan berusahalah untuk meluangkan masa berdua dengan makan malam bersama, menonton wayang, keluar berjalan pada waktu petang atau apa saja yang anda gemari.
Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Artikel ini juga disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (M) Sdn. Bhd. Pendapat yang terdapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca Majalah-E Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.