JIN Wei antara bakat muda yang mampu menyinar pada masa depan.
JIN Wei antara bakat muda yang mampu menyinar pada masa depan.

Kuala Lumpur: Jarak ranking yang terlalu jauh antara pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei yang kini berada di ranking keempat dunia dengan pemain kedua Chong Wei Feng di kedudukan 40 mencetuskan kebimbangan perkembangan sukan itu di negara ini.

Ia turut mengundang rasa kecewa Chong Wei yang mungkin akan menggantung raket selepas temasya Olimpik Rio apabila melihat tiada calon yang mampu mengambil alih tempatnya.

Justeru khidmat Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen ditagih Chong Wei untuk cuba menggilap generasi baru badminton negara dan tidak hanya menyandarkan harapan kepada juara Kejohanan Remaja Dunia, Goh Jin Wei semata-mata.

Tegas juara Seluruh England tiga kali itu bukan tugasnya mencari bakat baru untuk diketengahkan kerana ia tanggungjawab sepenuhnya BAM.

“Frost perlu jalankan tugas. Tidak boleh harapkan Jin Wei semata-mata kerana dia masih muda dan akan memberi tekanan kepadanya. Sekarang ini kita kurang beregu lelaki dan tidak banyak yang boleh disandarkan harapan.

“Pencarian bakat juga tidak boleh tertumpu kepada pemain perseorangan lelaki semata-mata ,” katanya.

Ditanya bagaimana pendekatan yang boleh digunakan untuk menggilap bakat baru, Chong Wei berkata, dia akan berkongsi pengalaman untuk memberi semangat kepada pemain muda.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin memberi galakan kepada pemain muda. Membantu mereka berkongsi pengalaman yang ada. Ketika saya senang dan ketika berada dalam keadaan tekanan. Bagaimana cara untuk mengatasinya.

“Namun bukan tugas saya untuk melatih mereka kerana saya tidak mahu melangkaui tugas seorang jurulatih kerana mereka juga mempunyai jurulatih sendiri,” katanya yang ditemui pada Majlis Visi Legenda Yonex semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 7:20 AM